ad
AGENDA

11 pendatang tanpa izin ditahan, guna jalan tidak diwartakan

27 Jan 2025, 11:53 AM
11 pendatang tanpa izin ditahan, guna jalan tidak diwartakan

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang tekong darat dan 10 pendatang tanpa izin kerana menggunakan jalan tidak diwartakan untuk keluar dan masuk ke negara ini.

Pegawai pemerintahnya Supt Jafri Muhamad berkata dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Anggerik, Sungai Besar, Selangor 6 pagi semalam, polis menahan masing-masing lima lelaki serta wanita warga Indonesia berusia antara 21 hingga 45 tahun.

Beliau berkata ketika pemeriksaan dilakukan menerusi Op Taring Nyah 1 itu, semua individu berkenaan gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

“Hasil siasatan lanjut, seorang lelaki warga Indonesia yang bertindak sebagai tekong darat (transporter), berusia 38 tahun turut ditahan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jafri berkata pihaknya juga merampas dua kenderaan serta beberapa telefon bimbit dengan nilai rampasan RM83,500.

Kesemua yang ditahan serta barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk tindakan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1963.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.