Oleh Syaza Atikah Ibrahim
SHAH ALAM, 27 JAN: Saringan barah pangkal rahim menggunakan ujian papilomavirus manusia (HPV) DNA lebih berkesan, mudah dan tidak menyakitkan berbanding pap smear.
Pegawai Perubatan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Selangor Dr Alia Syamim Zahari berkata kaedah berkenaan lebih tepat untuk mengesan kuman HPV.
"Kuman HPV ada banyak jenis, ada hampir 200, tetapi kaedah ini mampu menapis sehingga 14 jenis kuman HPV berisiko tinggi. Saringan pap smear biasa hanya mengesan perubahan sel.
"Ujian pap smear perlu dilakukan setiap tiga tahun manakala ujian HPV DNA perlu ulang dalam tempoh lima tahun jika keputusan normal," katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Dr Alia menambah ujian HPV DNA yang diperkenalkan pada 2019 dapat mengurangkan rasa malu, segan dan takut para wanita.
"Persampelan DNA akan diambil dan dilakukan sendiri selepas diberi taklimat oleh petugas klinikal. Para wanita perlu masukkan kit ujian pada bahagian kemaluan dan pusing 10 kali dan serahkan kepada petugas klinikal,” katanya.
Beliau menjelaskan wanita di Selangor berusia 30 tahun hingga 65 tahun boleh mendapatkan saringan ujian HPV DNA di lima klinik Nur Sejahtera iaitu di Kajang, Shah Alam, Klang, Ampang dan Selayang.
"Ujian HPV DNA kita galakkan untuk wanita berumur 30 hingga 65 tahun. Jadi wanita yang lebih muda dan telah melakukan hubungan seksual boleh mendapatkan ujian pap smear biasa," katanya.