ad
AGENDA

Malaysia, Indonesia mampu tangani isu sempadan, tenaga kerja secara tertib

27 Jan 2025, 10:44 AM
Malaysia, Indonesia mampu tangani isu sempadan, tenaga kerja secara tertib

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Presiden Indonesia Prabowo Subianto hari ini menyatakan keyakinannya terhadap Malaysia dalam menyelesaikan pelbagai isu sempadan dan tenaga kerja dengan Indonesia secara tertib.

Beliau berkata isu tenaga kerja dan sempadan yang sekian lama dibahas antara kedua-dua negara berjiran itu boleh diselesaikan, sekiranya pemimpin mempunyai iltizam politik untuk bekerjasama.

“Hal-hal lain kita boleh selesaikan, masalah teknikal boleh diselesaikan. Apa yang penting ialah kita mempunyai iltizam politik dan strategik.

“Kita boleh selesaikan masalah sempadan, kita akan selesaikan masalah dua hala dan tenaga kerja jika sepakat untuk tertibkan,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.

Sidang media bersama itu diadakan di Menara Berkembar Petronas selepas Prabowo dan Anwar mengadakan pertemuan empat mata dan mesyuarat dua hala.

Prabowo berkata perkara itu turut disepakati bersama Anwar dalam pertemuan sebentar tadi.

Beliau berkata kerjasama antara Malaysia dan Indonesia adalah amat penting tatkala geopolitik dunia kini penuh dengan ketegangan dan ketidakpastian.

“Kerana itu pada pandangan saya, Malaysia dan Indonesia kita juga perlu tumpukan sinergi bersama rakan-rakan ASEAN kita. Hanya dengan kerjasama yang baik antara kita, suara kita akan lebih didengari,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.