ad
AGENDA

JPJ cadang wujud pasukan khas, jalankan risikan, operasi

27 Jan 2025, 7:58 AM
JPJ cadang wujud pasukan khas, jalankan risikan, operasi
JPJ cadang wujud pasukan khas, jalankan risikan, operasi

KUANTAN, 27 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang mewujudkan pasukan tindakan khas dengan latihan khusus akan diberikan kepada anggota terlibat.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata cadangan penubuhan pasukan berkenaan akan dibawa ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tahun ini untuk pertimbangan terlebih dahulu.

Beliau berkata pasukan itu akan berfungsi antaranya bagi menjalankan operasi khas, risikan selain membantu negeri menyelesaikan sesuatu isu.

"Pasukan ini akan ditempatkan di ibu pejabat JPJ dan mereka akan menjalankan tugas berbeza daripada penguatkuasaan dan bantu untuk isu yang lebih kritikal.

[caption id="attachment_671293" align="alignleft" width="500"] Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli. Foto BERNAMA[/caption]

"Saya akan berbincang secara terperinci dahulu dengan pengurusan JPJ, misalnya dari segi jumlah anggota sebelum bawa perkara ini kepada JPA," katanya pada sidang media ketika mengadakan lawatan kerja di JPJ Pahang, Indera Mahkota di sini hari ini.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata sebanyak 22,252 notis melibatkan pelbagai kesalahan dikeluarkan terhadap kenderaan dan pemandu yang gagal mematuhi peraturan dalam tempoh seminggu bermula 20 Januari lalu menerusi Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2025.

Beliau berkata notis berkenaan dikeluarkan selepas pihaknya memeriksa 100,534 kenderaan dan daripada jumlah itu, 223 kenderaan disita.

Aedy Fadly berkata tiada lesen memandu kompeten (CDL) merekodkan kesalahan tertinggi, iaitu 4,313 kes diikuti lebih muatan (653), tidak memakai topi keledar atau tali pinggang (593), tidak mematuhi isyarat lampu merah (279) dan menggunakan telefon bimbit merekodkan 127 kes.

Mengulas lanjut, beliau berkata JPJ turut melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan di depoh serta terminal dengan 2,604 bas diperiksa.

"Sebanyak 60 kenderaan dikenakan tindakan dengan 61 notis dikeluarkan antaranya melibatkan kesalahan utama, iaitu memandu melebihi empat jam tanpa pemandu kedua,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sedang meneliti prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pemeriksaan kenderaan elektrik (EV).

“Buat masa ini, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) boleh menggunakan SOP sedia ada kenderaan biasa dahulu," katanya ketika diminta mengulas mengenai Puspakom yang dilaporkan masih menunggu SOP daripada JPJ berkaitan pemeriksaan kenderaan elektrik.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.