AMPANG JAYA, 27 JAN: Pusat Parlimen Ampang memperuntukkan RM50,000 untuk mengagih kupon subsidi kepada pengunjung program Jualan Ehsan Rahmah (JER) sejak April tahun lalu.
Wakil rakyatnya Rodziah Ismail berkata hari ini pihaknya menyediakan 500 baucar bernilai RM5 untuk pembeli JER mega sempena Tahun Baharu Cina di tapak pasar malam Pandan Cahaya, Ampang Jaya di sini.
“Kami membuat hebahan informasi berkenaan program JER mega serta berkongsi pautan pendaftaran kupon melalui kumpulan WhatsApp persatuan komuniti, masjid dan surau.
“Pengunjung yang mendaftar dan hadir boleh menebus kupon pada program JER mega hari ini,” katanya ditemui pada program jualan murah itu.
[caption id="attachment_684107" align="aligncenter" width="1038"] Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail menyantuni orang ramai sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) mega Tahun Baharu Cina di tapak pasar malam Pandan Cahaya, Ampang Jaya pada 27 Januari 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Dalam pada itu, Rodziah memaklumkan pihaknya dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sudah menganjurkan lebih 20 program jualan murah di kawasan Ampang tahun lalu.
“Secara purata di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dua kali dalam sebulan jualan murah diadakan manakala parlimen pula sekali setiap dua bulan.
“JER mega hari ini yang pertama untuk 2025, PKPS menyediakan 1,000 ekor ayam dan 600 pek beras sempena musim perayaan tidak lama lagi,” ujarnya.
Program JER mega sempena Tahun Baharu Cina menawarkan barangan asas pada harga berpatutan hari ini dan esok.
PKPS memaklumkan di Facebook, inisiatif itu menawarkan ayam seekor (RM12), daging pejal (RM10/pek), telur (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak dua kg (RM10) dan beras lima kg (RM13).
Turut dijual tepung (RM2), sardin (RM5.50), bihun (RM2.50), biskut jagung (RM3), sabun cuci baju (RM16.00) dan lampin bayi pakai buang (RM12).
[caption id="attachment_684108" align="aligncenter" width="1249"] Petugas PKPS membuat persiapan sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) mega Tahun Baharu Cina di tapak pasar malam Pandan Cahaya, Ampang Jaya pada 27 Januari 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_684106" align="aligncenter" width="979"] Orang ramai menunggu giliran untuk membeli barangan keperluan asas sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) mega Tahun Baharu Cina di tapak pasar malam Pandan Cahaya, Ampang Jaya pada 27 Januari 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_684110" align="aligncenter" width="1012"] Orang ramai membeli barangan asas sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) mega Tahun Baharu Cina di tapak pasar malam Pandan Cahaya, Ampang Jaya pada 27 Januari 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]