SHAH ALAM, 27 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menyeru umat Islam menjaga ibadah solat seperti yang diperintah Allah SWT ketika peristiwa Israk dan Mikraj.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin bertitah peristiwa itu bukan sekadar perjalanan luar biasa yang wajib diikuti sebaliknya memiliki hikmah besar kepada umat Islam.
“Peristiwa Israk dan Mikraj hakikatnya bukan sekadar perjalanan luar biasa yang wajib kita imani, bahkan sebenarnya ia mengandungi hikmah besar yang mengajar kita erti kepatuhan dan ketaatan mutlak kepada Allah SWT.
“Peristiwa ini juga mengajar kita bahawa ibadah solat bukan hanya kewajipan ritual yang perlu dilaksanakan setiap hari, tetapi ia adalah jalan menuju keberkatan hidup di dunia dan akhirat,” menurut kenyataan Selangor Royal Office menerusi Facebook.
Menerusi perutusan Memperingati Peristiwa Agung Israk Mikraj 1446 Hijrah, Baginda menyeru umat Islam menghayati intipati khutbah Jumaat yang disampaikan 24 Januari lalu bertajuk, Ibadah Solat : Wasiat Agung Israk Mikraj.
Baginda mengingatkan, ketika seluruh ibadah lain disampaikan melalui wahyu di bumi, hanya solat yang diperintahkan Allah SWT secara langsung dalam peristiwa Israk dan Mikraj.
Menerusi peristiwa itu juga Allah SWT memerintahkan umat Islam menunaikan solat fardu lima waktu sementara haram dan berdosa besar apabila seseorang itu meninggalkannya dengan sengaja.
“Di sebalik pensyariatan solat dalam peristiwa agung ini, ia juga mengajar tentang konsep “Ubudiyyah” iaitu satu prinsip ketaatan yang mutlak.
“Iaitu melaksanakan ibadah semata-mata kerana perintah Allah, walaupun tidak ada sebarang pembuktian saintifik, di mana akal tidak akan mampu memahami keseluruhan hikmah di sebaliknya,” menurut kenyataan itu lagi.
Peristiwa Israk dan Mikraj adalah mukjizat agung yang dikurniakan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Antara peristiwa penting dalam Israk dan Mikraj adalah perintah kewajipan solat fardu lima waktu sehari semalam ke atas umat Islam.