ad
EXCO

Kes cemar Sungai Gong: Kamar Penasihat Undang-Undang Selangor cadang rayuan 

27 Jan 2025, 3:39 AM
Kes cemar Sungai Gong: Kamar Penasihat Undang-Undang Selangor cadang rayuan 
Kes cemar Sungai Gong: Kamar Penasihat Undang-Undang Selangor cadang rayuan 

SHAH ALAM, 27 JAN: Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor memajukan cadangan rayuan kepada pihak pendakwa raya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Selayang yang melepas dan membebaskan lima tertuduh dalam kes terkait insiden pencemaran Sungai Gong.

Mengesahkan perkara itu, EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata kuasa membuat rayuan terhadap keputusan itu adalah di bawah bidang kuasa pendakwa raya.

[caption id="attachment_677696" align="aligncenter" width="813"] EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin ketika sidang media perasmian kolam tadahan Sungai Kayu Ara di Kampung Chempaka, PJU1, Petaling Jaya pada 13 Disember 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Ya. Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor telah memajukan cadangan kepada pihak pendakwa raya untuk rayuan,” katanya kepada Media Selangor, hari ini.

Semalam, Jamaliah menerusi kenyataan memaklumkan Kerajaan Negeri dimaklumkan Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, kuasa pendakwaan termasuklah kuasa membuat rayuan terhadap keputusan itu adalah di bawah bidang kuasa pendakwa raya.

Menurutnya, Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri hanya boleh memberi cadangan kepada pihak pendakwaan Selangor untuk memfailkan rayuan dan tertakluk kepada pertimbangan pihak pendakwaan untuk memutuskannya.

Pada 17 Januari, empat lembaga pengarah dan seorang pengurus kilang dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan melepas dan melupuskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya ke Sungai Gong, Rawang, lima tahun lalu.

Kesemua lima tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan berhubung insiden pencemaran Sungai Gong sehingga menyebabkan henti tugas loji rawatan air Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 pada September 2020.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(3) akta sama.

Selain itu katanya, Seksyen 79(4) Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Luas) 1999 dan Seksyen 79 (1) Enakmen Luas yang telah dipinda antaranya menetapkan jumlah denda lebih tinggi, akan digunakan bagi siasatan dan tuduhan sekiranya berlaku kes pencemaran akan datang.

Menerusi kenyataan semalam, Jamaliah memaklumkan langkah proaktif Selangor meminda beberama enakmen termasuk meningkatkan jumlah denda mencerminkan ketegasan menangani isu pencemaran yang kerap kali berlaku sehingga menyebabkan gangguan kepada sumber air negeri.

Katanya, pindaan Seksyen 79(4) Enakmen Luas 1999 antara lainnya terhadap peruntukan hukuman lebih tinggi iaitu daripada denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya kepada pindaan denda tidak kurang daripada RM200,000 dan tidak melebihi RM1 juta dan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun.

Pindaan kepada Seksyen 79 (1) Enakmen Luas juga memasukkan kesalahan pencemaran air yang disebabkan oleh bau dan rasa sebagai salah satu kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.