SHAH ALAM, 26 JAN : Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) memperuntuk RM13.5 juta tahun ini bagi melaksanakan program saringan dan pengimejan barah pangkal rahim.
Timbalan Pengerusinya Juwairiya Zulkifli berkata golongan wanita yang berkelayakan boleh mendapatkan perkhidmatan secara percuma itu di 50 Klinik Nur Sejahtera LPPKN di seluruh negara.
"Seramai 162,427 wanita di Malaysia menjalani saringan barah serviks sejak 2019 hingga tahun lalu. Jangan lepaskan peluang, manfaatkan perkhidmatan percuma yang ditawarkan ini.
"Kos saringan barah pangkal rahim di klinik LPPKN adalah percuma tetapi di klinik swasta lain ia boleh mencecah kos antara RM300 hingga RM600," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada porgam Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2025 peringkat Selangor di Hospital Pakar KPJ, Seksyen 20 di sini hari ini.
Juwairiya menjelaskan kriteria umur yang ditetapkan bagi perkhidmatan tersebut adalah 30 hingga 65 tahun yang mana golongan berkenaan adalah berisiko tinggi untuk mendapat barah pangkal rahim.
"Namun, bagi wanita yang berusia di bawah 30 tahun atau melebihi 65 tahun ada perkhidmatan alternatif yang ditawarkan untuk pengesanan barah ini iaitu ujian 'pap smear'," katanya.
[caption id="attachment_683949" align="aligncenter" width="704"] Timbalan Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Juwairiya Zulkifli (enam dari kanan) dan EXCO Kesihatan Awam Sekitar Jamaliah Jamaluddin (enam dari kiri) bergambar bersama peserta Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2025 di Hospital Pakar KPJ Selangor Shah Alam Selangor pada 26 Januari 2025 . Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR.[/caption]