ad
AGENDA

Bas persiaran bawa 17 pelancong China terbabas, pemandu parah

26 Jan 2025, 12:30 PM
Bas persiaran bawa 17 pelancong China terbabas, pemandu parah

SANDAKAN, 26 JAN: Enam daripada 17 pelancong China yang menaiki sebuah bas persiaran cedera ringan manakala pemandu bas itu cedera parah, selepas bas berkenaan terbabas di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Lintas Sibuga, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus Sainkui berkata pemandu bas lelaki berusia 63 tahun serta enam pelancong yang cedera telah dibawa ke Hospital Dutchess of Kent Sandakan oleh orang awam sebelum anggota penyelamat tiba untuk memberikan rawatan lanjut.

Beliau berkata BBP Sandakan menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada pukul 9.15 pagi dan jentera bomba bersama lapan anggota tiba di lokasi kejadian sejauh 10 kilometer.

"Bas persiaran ini membawa tujuh lelaki dan 10 perempuan pelancong dari China termasuk empat kanak-kanak," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Severinus berkata pasukan bomba bertindak menjalankan operasi membersihkan tumpahan minyak di lokasi kejadian menggunakan satu aliran salur bantu sumber air dari tangki jentera dan operasi ditamatkan pada 10.42 pagi selepas memastikan keadaan adalah selamat.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.