ad
AGENDA

Disyaki buat ugutan kes pukul OKU, pempengaruh media sosial ditahan

26 Jan 2025, 10:40 AM
Disyaki buat ugutan kes pukul OKU, pempengaruh media sosial ditahan

CHUKAI, 26 JAN: Seorang pempengaruh media sosial telah ditahan polis hari ini kerana mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan di laman sosial berkaitan kes seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental yang dipukul di Pasar Tani Padang Astaka Chukai pada 17 Jan lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman DSP Wan Muhamad Wan Ja'afar berkata lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Segamat, Johor, kira-kira pukul 6.55 pagi tadi.

Beliau berkata suspek direman sehingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Khamis lepas, kami menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 40 tahun yang memaklumkan terdapat satu hantaran berbaur ugutan berhubung kes pukul tersebut di laman sosial milik pempengaruh berkenaan.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai, tanpa mengira latar belakang supaya tidak memuat naik sebarang kandungan yang boleh menimbulkan atau mencetuskan kegusaran awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, telah dibelasah oleh beberapa individu di pasar pagi berkenaan selepas motosikal yang ditunggangnya memasuki tapak jualan dan terlanggar salah sebuah gerai sehingga menyebabkan barangan jualan di gerai itu terjatuh.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.