ad
EXCO

EXCO: Rayuan kes pencemaran Sungai Gong bawah bidang kuasa pendakwa raya

26 Jan 2025, 5:30 AM
EXCO: Rayuan kes pencemaran Sungai Gong bawah bidang kuasa pendakwa raya
EXCO: Rayuan kes pencemaran Sungai Gong bawah bidang kuasa pendakwa raya

SHAH ALAM, 26 JAN: Kuasa membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Selayang yang memutuskan kesemua lima tertuduh dalam kes terkait insiden pencemaran Sungai Gong, dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan berkaitan adalah di bawah bidang kuasa pendakwa raya.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata Kerajaan Negeri dimaklumkan Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, kuasa pendakwaan termasuklah kuasa membuat rayuan terhadap keputusan itu adalah di bawah bidang kuasa pendakwa raya.

“Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri hanya boleh memberi cadangan kepada pihak pendakwaan Selangor untuk memfailkan rayuan dan tertakluk kepada pertimbangan pihak pendakwaan untuk memutuskannya.

“Keputusan pihak pendakwaan bagi pertuduhan di bawah peruntukan undang-undang yang di atas adalah dengan mengambil kira peruntukan kesalahan yang bersesuaian serta peruntukan hukuman yang tinggi pada ketika itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

[caption id="attachment_665538" align="alignleft" width="395"] EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berucap ketika program Mini Karnival Kesihatan Malaysia Madani di Bandar Teknologi Kajang, Hulu Langat pada 29 September 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Selayang memutuskan kesemua lima tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan berhubung insiden pencemaran Sungai Gong sehingga menyebabkan henti tugas loji rawatan air Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 pada September 2020.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(3) akta sama.

Jamaliah turut menegaskan Selangor tidak akan berkompromi pihak yang mencemarkan sumber air dengan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan tindakan yang boleh menyebabkan pencemaran selain melaporkan aktiviti mencurigakan berpotensi mencemar sumber air negeri.

Menurutnya langkah proaktif Selangor meminda beberama enakmen termasuk meningkatkan jumlah denda mencerminkan ketegasan menangani isu pencemaran yang kerap kali berlaku sehingga menyebabkan gangguan kepada sumber air negeri.

“Pindaan Seksyen 79(4) Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 antara lainnya terhadap peruntukan hukuman lebih tinggi iaitu daripada denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya kepada pindaan denda tidak kurang daripada RM200,000 dan tidak melebihi RM1 juta dan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun.

“Pindaan kepada Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS juga memasukkan kesalahan pencemaran air yang disebabkan oleh bau dan rasa sebagai salah satu kesalahan di bawah enakmen tersebut.

“Susulan pindaan ini, kes pencemaran pada masa kini dan akan datang boleh disiasat dan dituduh di bawah peruntukkan pindaan yang telah disediakan ini,” katanya.

Tambah Jamaliah, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) juga melaksanakan Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) melalui Peraturan-Peraturan Pelesenan Pembuangan Air Kembali dan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Buangan dan Bahan Pencemar di Selangor.

“Pelaksanaan ZDP ini antara lain bertujuan menggalakkan premis berkaitan mengurangkan kuantiti pelepasan efluen serta menjalankan usaha penggunaan semula air sisa.

“LUAS bersama pihak berkuasa tempatan negeri komited menjayakan ZDP berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 bagi memastikan impak pelepasan aktiviti sekeliling kepada sumber air dapat dikurangkan sekali gus kualiti sumber air negeri juga dapat ditingkatkan,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.