ad
AGENDA

Selangor seri dengan Penang FC, JDT menang di Terengganu

26 Jan 2025, 12:45 AM
Selangor seri dengan Penang FC, JDT menang di Terengganu

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir mencipta sejarah baharu dengan merangkul kejuaraan Liga Super ke-11 berturut-turut selepas mencatat kemenangan penting ke atas Terengganu FC 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam tadi.

Pemain tengah import dari Sepanyol Juan Muniz muncul wira skuad Harimau Selatan selepas meledak gol kemenangan pada minit ke-12 untuk memastikan pasukan kendalian Hector Bidoglio itu membawa pulang tiga mata berharga.

JDT, yang kini selesa di persada liga dengan mengumpul 52 mata, berpeluang muncul juara apabila dibezakan 13 mata di depan pencabar terdekat Selangor FC di posisi kedua dengan berbaki enam perlawanan.

Sebagai rekod, JDT mencipta sejarah apabila memenangi Liga Super ke-10 berturut-turut musim lalu, sekali gus mempertahankan penguasaan mereka yang bermula sejak musim 2014.

Sementara itu, sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil di penghujung permainan memusnahkan impian Selangor untuk mengutip tiga mata penuh selepas terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1 menentang Penang FC dalam aksi di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Rafael Vitor muncul penyelamat tuan rumah apabila berjaya menyempurnakan penalti pada masa tambahan separuh masa kedua yang diberikan pengadil Suhaizi Shukri selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) susulan kekasaran kapten Selangor Safuwan Baharudin ke atas Alif Ikmalrizal Anuar.

Terdahulu, skuad Gergasi Merah mendahului seawal minit ke-10 menerusi sepakan dari luar kotak penalti oleh penyerang import dari Chile, Ronnie Fernandez.

Dalam pada itu, Sabah FC mencatat kemenangan penting dalam usaha mencabar kedudukan naib juara liga selepas menundukkan Negeri Sembilan FC 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Sabah mendahului 2-0, masing-masing menerusi penyudah Saddil Ramdani seawal minit kelima dan Joao Pedro pada minit ke-71 sebelum pasukan tuan rumah berjaya merapatkan kedudukan hasil jaringan Hein Htet Aung pada minit ke-83.

Sabah, yang sudah beraksi dalam 17 perlawanan ketika ini, berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul 32 mata manakala Terengganu, yang baru beraksi dalam 16 perlawanan, berada di tangga keempat dengan 24 mata.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.