SHAH ALAM, 25 JAN : Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan kutipan fidyah lebih RM13 juta kepada 50,054 penerima sepanjang tahun 2024.
Pengerusinya berkata daripada jumlah keseluruhan itu, sejumlah RM4.84 juta untuk wang saku pelajar, RM4.45 juta (kotak makanan), RM2.37 juta (wang tunai) dan RM1.34 juta (barangan dapur).
"Sumbangan kotak makanan dan barang dapur kita agihkan terus kepada penerima yang layak. Wang saku pelajar diagihkan melalui rakan strategik agihan fidyah Mais manakala wang tunai dimasukkan ke akaun penerima.
"Fidyah merupakan ibadah yang bukan sahaja memiliki nilai kesucian tetapi ia tanggungjawab yang perlu ditunaikan oleh setiap individu yang tidak dapat berpuasa atas sebab tertentu seperti keuzuran," kata Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Program Perancangan dan Pewarisan Harta Islam dan Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah di Auditorium Dahlia, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berharap lebih ramai umat Islam menunaikan fidyah bagi membantu lebih ramai golongan asnaf terutama di Selangor ini untuk meneruskan kelangsungan hidup.
"Kita berharap setiap individu memahami tanggungjawab mereka dengan lebih baik dan menunaikan fidyah dengan penuh keikhlasan supaya lebih ramai asnaf dapat dibantu," katanya.
[caption id="attachment_683798" align="aligncenter" width="702"] Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) bergambar pada Majlis Penyerahan Agihan Fidyah dan Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah 2024 di Dewan Auditorium Dahlia, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Januari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]