SHAH ALAM, 25 JAN: Orang ramai dipelawa menyertai program saringan kesihatan percuma di Surau Al-Ansor, Seksyen 2 di sini, mulai 9 pagi hingga 3 petang pada 2 Februari ini.
EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berkata inisiatif Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik itu menyediakan ujian seperti jantung, darah tinggi, kencing manis, buah pinggang, barah, mata, telinga dan gigi.
"Jom ramai-ramai berkunjung ke lokasi program saringan kesihatan di Kawasan Kota Anggerik! Ambil peluang ini untuk melakukan saringan kesihatan percuma bagi pemeriksaan fizikal, darah, urin, kanser, mata, gigi dan lain-lain. Hubungi Selcare di talian 1800226600 jika ada masalah pendaftaran,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata orang ramai boleh mendaftar Selangor Saring di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) semudah empat langkah berikut:
- memuat turun SELangkah
- tekan butang Selangor Saring
- isi borang soal selidik
- pilih lokasi dan tarikh program
Belanjawan Selangor 2025 memperuntukkan RM2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma yang diperkenal sejak 2022.
Pada 17 Disember tahun lepas, Dato Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata hampir 7,000 rakyat negeri ini menjalani saringan percuma sepanjang 2024 dengan 38 peratus daripadanya melibatkan individu berumur 46 hingga 64 tahun.
Program Selangor Saring antara usaha membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal dengan menyasar individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.