ad
AGENDA

Tujuh individu dipercayai keldai akaun ditahan babit kerugian hampir RM500,000

24 Jan 2025, 2:20 PM
Tujuh individu dipercayai keldai akaun ditahan babit kerugian hampir RM500,000

BALIK PULAU, 24 JAN: Polis menahan tujuh individu dipercayai ahli sindiket penipuan dalam talian menerusi operasi khas semalam yang membabitkan kerugian RM476,819.45.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata mereka yang ditahan terdiri empat lelaki dan tiga wanita berusia 22 hingga 35 tahun dalam operasi khas melibatkan siri tindakan Ops Nuri, Ops Merpati, Ops Belatuk dan Ops Pelican.

"Kesemua mereka yang ditahan terdiri pekerja kilang, penghantar makanan dan penganggur yang dipercayai bertindak sebagai keldai akaun dan suspek ditahan di beberapa lokasi berasingan di sekitar Sentul, Bangsar dan Serdang.

"Hasil siasatan awal mendapati sindiket itu menggunakan pelbagai modus operandi untuk memperdaya mangsa antaranya menawarkan pelaburan palsu, skim pekerjaan tidak wujud, penjualan barangan dalam talian yang tidak dihantar dan penyamaran sebagai pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat peribadi mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Beliau berkata jumlah keseluruhan kerugian mangsa dianggarkan sebanyak RM476,819.45 dan melibatkan pelbagai transaksi kewangan seperti pindahan wang serta pembayaran melalui akaun bank.

Kesemua suspek dipercayai menyerahkan akaun bank dan kad mesin juruwang automatik (ATM) mereka kepada sindiket sebagai balasan kepada imbuhan tertentu.

Sazalee memaklumkan tindakan itu membolehkan sindiket menjalankan kegiatan penipuan tanpa dapat dikesan secara langsung dan kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.