SHAH ALAM, 24 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan 97 notis dan 134 kompaun kepada pihak melanggar peraturan berkaitan pencegahan denggi sepanjang tahun lalu.
MPAJ memaklumkan pemilik premis berdepan kompaun berjumlah RM1,000 bagi kesalahan membiarkan bangunan kotor terutamanya jika kawasan pembiakan nyamuk Aedes ditemui.
Sehubungan itu, katanya, penduduk diingatkan sentiasa melaksanakan gotong-royong kendiri di kediaman masing-masing dalam usaha mencegah wabak demam denggi.
“MPAJ terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha membanteras Aedes dan mencegah denggi di kawasan pentadbiran Ampang Jaya.
“Sepanjang 2024, sebanyak 192 program termasuk aktiviti gotong-royong dan operasi kawalan demam denggi dilaksanakan, melibatkan kerjasama pelbagai pihak seperti persatuan penduduk serta agensi kesihatan,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut MPAJ, pihaknya terus mengadakan program secara berkala di lokasi berbeza bagi meningkatkan pengetahuan komuniti mengenai nyamuk Aedes serta menggalakkan amalan pencegahan.
Selain itu, katanya, penubuhan Communication for Behavioural Impact (COMBI) yang aktif dan berdaftar dengan pejabat kesihatan daerah turut membantu usaha mencegah demam denggi.
“Antara pasukan COMBI yang aktif adalah di Taman Bukit Mulia, Taman Keramat Permai AU2, Pangsapuri Ukay Indah, Apartment Sri Puteri Ukay Perdana dan Flat PKNS Taman Dagang,” katanya.
Pada 6 Januari lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dilapor berkata terdapat 22 lokaliti aktif denggi dikenalpasti pada Minggu Epidemiologi ke-52 (ME52) berbanding 18 lokaliti pada minggu sebelumnya.
Daripada 22 lokaliti itu, sebanyak 12 lokaliti di Selangor, lima lokaliti di Negeri Sembilan, tiga lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta satu lokaliti masing-masing di Pahang dan Pulau Pinang.