OLEH UFAIRAH TARMIDZI
PELABUHAN KLANG, 24 JAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor merampas 77,059 kilogram (kg) daging dan makanan sejuk beku termasuk daging itik dan katak yang bernilai lebih RM1.4 juta.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata ia dipercayai untuk pengedaran sempena Tahun Baharu Cina akhir bulan ini.
“Selain katak dan itik sejuk beku, pasukan serbuan turut menemui dada ayam serta kambing sejuk beku serta dumpling udang, pau, dumpling jagung dan lain-lain.
“Kesemua dagangan ini disyaki tidak mempunyai permit yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS),” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara di sini, hari ini.
Beliau berkata pengimportan daging dan makanan sejuk beku adalah tertakluk kepada Permit Import yang dikeluarkan MAQIS di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Dalam kes berasingan, Norlela berkata pihaknya turut merampas 9,744.50 kg tembakau mentah dan tembakau kunyah bernilai hampir RM1.7 juta.
“Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan telah menemui 8,184 kg tembakau kunyah dan 1,560.50 kg tembakau mentah yang disyaki tidak memiliki permit import.
"Pengimportan Tembakau Mentah dan Chewing Tobacco adalah tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya.
Jumlah nilai dagangan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM720,397 manakala jumlah duti atau cukai yang terbabit adalah sebanyak RM976,919 dengan kontena tersebut diikrar membawa pelbagai barang makanan dan minuman.
Kes seludup daging dan makanan sejuk beku, tembakau mentah serta tembakau kunyah itu disiasat di bawah Seksyen 135 (1) kurungan (a) Akta Kastam 1967.