Perkataan “al-Sunnah” asal maknanya adalah cara atau perjalanan sama ada yang terpuji ataupun tercela. Dari sudut kefahaman ulama-ulama fiqh pula, sunnah salah satu daripada lima hukum taklifi: wajib, haram, sunnah, makruh dan harus.
Kadangkala, fuqaha menggunakan istilah sunnah sebagai lawan kepada bid‘ah, contohnya mereka mengatakan: "Talak sunnah adalah begini, dan talak bid‘ah adalah begini."
Ulama usul al-Fiqh pula menyatakan makna sunnah ialah apa sahaja yang datang daripada nabi selain al-Quran sama ada dalam bentuk ucapan, perbuatan atau pengakuan yang disandar kepada nabi. Dalam kalangan ulama hadis pula, sunnah bermaksud apa sahaja yang diriwayat daripada nabi sama ada ucapan, perbuatan, pengakuan, sifat atau perjalanan hidup baginda.
Umat Islam memberi perhatian yang sangat besar terhadap sunnah. Mereka memeliharanya, menulisnya dan meriwayatkannya satu generasi kepada generasi lain atas nama ilmu hadis. Dengan itu, tersebar kitab-kitab hadis yang diriwayat penulis kitab dengan disambungkan penceritaan yang didengar dari guru demi guru sehingga bersambung kepada kepada Rasulullah.
Ini salah satu keistimewaan umat Islam yang tidak berlaku kepada agama lain dalam tradisi penjagaan terhadap keabsahan fakta yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW.
Umat Islam sepakat bahawa apa sahaja yang berasal daripada baginda sama ada dalam bentuk ucapan, perbuatan atau pengakuan berkaitan urusan pensyariatan, kepemimpinan atau kehakiman, dan disampaikan kepada kita dengan sanad yang dipercayai keabsahannya adalah hujah ke atas umat Islam.
Ia juga menjadi sumber pensyariatan yang digunakan oleh para ulama yang sudah sampai tahap mujtahid untuk mengistinbat hukum-hukum syarak berkaitan perbuatan mukallaf.
Justeru, sunnah nabawiyah merupakan sumber kedua dalam asas syariat Islam. Kedudukannya berada selepas al-Quran. Mengikut sunnah, adalah wajib sebagaimana wajibnya mengikut al-Quran. Banyak dalil menunjukkan kewajipan mengikuti sunnah antaranya: Ketaatan kepada Rasul adalah ketaatan kepada Allah sebagaimana firman Allah dari ayat ke-80 surah al-Nisa’ (4):
“Sesiapa yang taat kepada Rasul, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah" dan ayat ke-7, Surah al-Hasyr (59): "Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka ambillah, dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah” dan ayat ke-59 surah al-Nisa’ (4): "Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul."
Demikian juga amaran terhadap menyalahi perintah Rasul seperti firman Allah dalam ayat ke-63 surah al-Nur (24): "Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintahnya takut akan ditimpa fitnah atau azab yang pedih.”
[caption id="attachment_592784" align="alignnone" width="758"] Jemaah menunaikan solat tarawih di Masjid Al-Khairiyah Gombak pada 2 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]
Sumber hukum
Malah, hukum Rasul sesuatu yang wajib diterima tanpa pilihan lagi seperti dalam ayat ke-36 surah al-Ahzab (33): "Dan tidaklah patut bagi seorang mukmin lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, bahawa mereka mempunyai pilihan dalam urusan mereka." serta menjadikan hukum Rasul sebagai asas iman seperti dalam ayat ke-65 surah al-Nisa’ (4): "Maka demi Tuhanmu, mereka tidak akan beriman sehingga mereka menjadikan engkau (wahai Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusanmu, dan mereka menerima sepenuhnya."
Dari semua ayat al-Quran yang dikemukakan ini menunjukkan dengan jelas bahawa Allah mewajibkan kita mengikuti Rasul-Nya dalam segala yang disyariatkannya. Oleh itu, sunnah merupakan sumber hukum yang sah untuk setiap individu mukallaf.
Berkenaan sifat al-Sunnah, ia merangkumi kepada tiga perkara iaitu:
Pertama, hukum yang al-Quran sebut secara ringkas, diperjelas perinciannya melalui al-Sunnah, sama ada ia melibat perkataan atau perbuatan nabi. Contohnya, perincian waktu solat, bilangan rakaatnya, cara pelaksanaannya, kadar zakat, waktu pembayarannya, harta yang dikenakan zakat, hukum puasa, manasik haji, penyembelihan, perburuan, apa yang boleh dimakan dan yang tidak, serta perincian mengenai perkahwinan, jual beli, dan jenayah, yang disebut secara ringkas.
Kedua, sumber bagi syariat bagi perkara yang diperjelas dari sebarang ayat al-Quran. Asas ini disanda kepada kewajipan yang ditetapkan dalam al-Quran agar mentaati Rasul-Nya dan mengikuti keputusannya: "Taatilah Allah dan taatilah Rasul: (an-Nisa': 59). Contoh dalam hal ini seperti larangan bagi seseorang yang berpoligami bahawa dia menghimpunkan dua isterinya dengan menghimpunkan antara anak saudara dengan ibu saudara sebelah bapanya atau ibunya, pengharaman semua binatang buas yang bertaring dan burung yang bercakar serta larangan bagi lelaki memakai sutera, cincin emas dan sebagainya.
Tanpa sunnah yang menjelaskan ini, pasti umat tidak mampu untuk melaksanakan perintah dan kewajipan yang ditetapkan oleh agama. Ini menunjukkan bahawa sunnah Rasulullah yang sahih merupakan dalil yang wajib diikuti.
Oleh sebab kewajipan mengikuti Rasulullah berdasarkan kedudukannya sebagai utusan Allah, maka semua hukum yang sahih daripada baginda sama ada menjelaskan perintah dalam al-Quran atau menetapkan hukum baru yang tidak disebut dalam al-Quran wajib diikuti.