ad
AGENDA

Selangor perketat sistem pentadbiran, atasi penipuan pindah milik tanah

24 Jan 2025, 12:27 AM
Selangor perketat sistem pentadbiran, atasi penipuan pindah milik tanah
Selangor perketat sistem pentadbiran, atasi penipuan pindah milik tanah

Oleh Danial Dzulkifly

HULU SELANGOR, 24 JAN: Selangor akan memperketat sistem pentadbiran tanah susulan kegiatan pindah milik secara tidak sah oleh penjawat awam yang didedahkan polis, baru-baru ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyifatkan penemuan tersebut serta penangkapan beberapa individu termasuk penjawat awam negeri ini sebagai "satu permulaan".

Beliau mendedahkan negeri ini mengalami kerugian besar selama bertahun-tahun akibat eksploitasi sistem pengurusan tanah, sebelum peralihan kepada sistem e-Tanah yang lebih selamat.

“Kerajaan Negeri mengalami kerugian besar, terutamanya disebabkan tuntutan tanah bertindih yang memaksa kita menggantikan tanah dan membayar pampasan kepada pihak terjejas.

“Sebahagian daripada tanah ini terlibat dalam perniagaan, dan isu perlu ditangani. Ini hanyalah permulaan, dan kita mesti mengenal pasti ruang untuk penambahbaikan," katanya semalam.

[caption id="attachment_683447" align="aligncenter" width="792"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melawat pameran selepas merasmikan Loji Hidrokuasa Kecil Batang Kali pada 23 Januari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Amirudin turut mendedahkan pihak tertentu mengambil kesempatan semasa peralihan kepada sistem e-Tanah, dengan memanipulasi rekod untuk memasukkan nama dan pemilikan tidak wujud.

“Dengan adanya sistem e-Tanah sekarang, kawalan kita jauh lebih ketat,” katanya yang menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menjalankan siasatan menyeluruh.

Media sebelum ini melaporkan seramai 17 individu ditahan dalam tangkapan berasingan sejak September tahun lalu berikutan disyaki terbabit kartel pindah milik tanah.

Setakat ini, tujuh kes sedang disiasat membabitkan tanah seluas 21 ekar atau lebih 9.4 hektar dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM7.1 juta.

Pada 10 Januari, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berkata kesemua yang ditahan berusia 33 hingga 57 tahun, dan sedang mengesan individu lain disyaki terlibat.

Menurut Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, pihaknya tidak menolak kemungkinan kegiatan berkenaan dilakukan secara bersindiket dengan penglibatan 'orang dalam' di pejabat terbabit.

Selasa lalu, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor Datuk Yusri Zakariah mengesahkan tujuh kakitangan dari cawangan Klang ditahan polis untuk membantu siasatan.

Mereka juga dipindahkan ke Jabatan Sumber Manusia di Shah Alam, sementara menunggu siasatan penuh serta tidak dibenar menguruskan sebarang perkara berkaitan tanah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.