SHAH ALAM, 23 JAN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalur peruntukan khas bagi proses pemulihan ahli kumpulan GISB Holdings (GISBH).
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah bantuan asnaf riqab boleh digunakan bagi tujuan itu.
“LZS hendaklah memperuntukkan dana khusus yang sewajarnya untuk tujuan pemulihan golongan ini bagi memperbetulkan dan meluruskan akidah mereka.
“Agihan zakat hendaklah disalurkan kepada golongan asnaf sebenar yang layak menerimanya. Huraian kepada lapan (kategori) asnaf hendaklah dirujuk kepada fatwa yang telah diputuskan,” titah Baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika menyempurnakan perasmian ibu pejabat LZS, Menara Zakat Sultan Idris Shah, di sini hari ini.
[caption id="attachment_683490" align="aligncenter" width="1012"] Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj serta DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan mencemar duli ke majlis perasmian Menara Zakat Sultan Idris Shah di Seksyen 14, Shah Alam pada 23 Januari 2025. Turut hadir Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Baginda turut mengingatkan masyarakat supaya menunaikan zakat pendapatan di negeri bekerja.
Sultan Sharafuddin juga menzahirkan kebimbangan sekiranya zakat yang dikutip di Selangor diagih ke negeri lain.
“Beta bimbang Selangor yang majoritinya Melayu Islam dan (memiliki) lebih 79,000 keluarga asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan LZS akan dinafikan hak mereka dan dizalimi tanpa kita sedari.
“Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor juga telah mengeluarkan fatwa yang diwartakan pada 9 Mei 2002 yang menjelaskan semua umat Islam yang tinggal atau bekerja di Selangor hendaklah membayar zakat pendapatan kepada pusat zakat Selangor,” titah Baginda.
[caption id="attachment_683491" align="aligncenter" width="1011"] Menara Zakat Sultan Idris Shah di Seksyen 14, Shah Alam pada 23 Januari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]