RAWANG, 23 JAN: Seorang pesakit jantung di Kampung Sungai Terentang di sini berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri melalui Selcare Management Sdn Bhd (Selcare) membiayai kos pembedahannya pada 7 Januari lalu.
Chong Yoon Chin, 53, berkata dana sebanyak RM50,000 melalui Skim Rawatan Jantung Selangor meringankan beban dan tidak perlu menunggu waktu giliran yang lama bagi menjalani pembedahan.
“Saya menderita di bahagian saluran injap di bahagian kiri menyebabkan rasa tidak selesa dan kurang berselera untuk menjamah makanan.
“Kini saya telah sihat semula selepas menjalani pembedahan di Hospital UiTM Sungai Buloh (UiTMPSC). Saya hargai bantuan dari Kerajaan Negeri ini,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang.
Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat menyeru orang ramai supaya memanfaatkan program bantuan dibawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) dalam usaha meringankan beban golongan berpendapatan rendah negeri ini.
Menurutnya lagi, antara syarat permohonan skim rakyat negeri yang berpendapatan RM8,000 dan ke bawah untuk mendapatkan rawatan di bawah tiga hospital panel Selcare.
“Chong merupakan pesakit jantung kedua dibantu melalui skim bawah DUN saya pada penggal ini. Terdahulu, seorang kanak-kanak berusia enam tahun dibiayai RM150,000 untuk pembedahan bagi menyelamatkan nyawanya.
“Skim ini bukan sahaja meringankan beban malah mengurangkan tempoh giliran menunggu kesesakan di hospital kerajaan. Dua panel lain adalah Institut Jantung Negara dan Cardiac Vascural Central (CVSKL).
“Permohonan boleh dibuat atas talian Selcare yang memerlukan surat sokongan dari pusat khidmat DUN masing-masing,” jelasnya.
Skim merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan khidmat rawatan jantung secara percuma.
Program dikendalikan oleh anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) iaitu Selcare.