SHAH ALAM, 23 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyempurnakan majlis perasmian ibu pejabat baharu Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Seksyen 14, dekat sini hari ini.
Turut berangkat ke majlis berkenaan ialah DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
LZS memaklumkan Menara Zakat Sultan Idris Shah itu memainkan peranan penting dalam memperkasa komuniti asnaf selain menjadi pusat sehenti bagi pembayar zakat.
[caption id="attachment_683506" align="aligncenter" width="694"] Menara Zakat Sultan Idris Shah di Seksyen 14, Shah Alam pada 23 Januari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Agensi berkata menara berkenaan turut mencerminkan komitmen pihaknya terhadap perancangan jangka panjang selain kesiapsiagaan perkhidmatan masa depan.
“Majlis ini menandakan mercu jaya penting sepanjang 30 tahun perjalanan LZS menyantuni dan memperkasa penduduk Selangor khususnya golongan asnaf.
“Selama tiga dekad, LZS menyentuh kehidupan lebih 350,000 penerima zakat dan mengagihkan lebih RM11 bilion.
"Menjelang 2030, LZS menjangkakan peningkatan jumlah asnaf kepada 157,000 perlu disantuni,” katanya menerusi kenyataan.
LZS berkata menara zakat itu dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya dewan seminar, surau, ruang letak kereta, pusat sumber serta kemudahan untuk golongan kelainan upaya.
Bagi melancarkan urusan kutipan dan agihan serta keselesaan kepada pembayar dan penerima, menara turut dilengkapi kaunter pandu lalu selain kios layan diri yang mampu mengurangkan masa menunggu.
“Lokasi Menara Zakat Sultan Idris Shah ini terletak 150 meter dari stesen LRT. Kemudahan ini diperkukuh lagi dengan perkhidmatan bas percuma sekitar Shah Alam untuk memudahkan akses orang ramai berurusan,” katanya.
[caption id="attachment_683490" align="aligncenter" width="707"] Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj serta DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan mencemar duli ke majlis perasmian Menara Zakat Sultan Idris Shah di Seksyen 14, Shah Alam pada 23 Januari 2025. Turut hadir Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]