ad
AGENDA

Perunding hartanah: Anak muda digalak beli pangsapuri, lebih relevan

22 Jan 2025, 3:09 PM
Perunding hartanah: Anak muda digalak beli pangsapuri, lebih relevan

SHAH ALAM, 22 JAN: Golongan belia dinasihatkan tidak terburu-buru membeli kediaman termasuk rumah lelong yang dijual pada harga tidak masuk akal.

Perunding ejen hartanah Kamaruzaman Omar berkata rumah lelong mempunyai banyak kos tersembunyi selain memerlukan perbelanjaan tinggi bagi kerja baik pulih.

“Rumah lelong kurang sesuai untuk orang muda yang mahu membeli rumah pertama kerana modal dan risiko yang besar. Anak muda kalau boleh digalakkan beli rumah pangsapuri.

“Lebih nyenyak tidur kerana bayaran rumah juga tidak tinggi. Beli pangsapuri lebih relevan supaya ada duit lebihan untuk teruskan hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dijemput sebagai tetamu dalam program bual bicara Siapa Tahu dengan tajuk Menyewa Sampai ke Hujung Hayat? terbitan Media Selangor.

Dalam pada itu, Kamaruzaman menjelaskan tidak salah untuk menyewa kediaman sekiranya belum mempunyai tujuan yang jelas untuk memiliki hartanah sendiri.

Beliau yang memiliki pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang hartanah berkata membeli rumah membabitkan komitmen panjang dan bakal pembeli perlu berhati-hati supaya tidak mudah terjerat.

“Mengikut pengalaman saya, ada anak muda berumur 20-an diisytihar bankrap selepas membeli rumah kerana dia beli tanpa ilmu dan panduan. Jangan malu bertanya dan bukan hanya setakat Google sahaja,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.