SHAH ALAM, 22 JAN: Usahawan di negeri ini yang memerlukan modal untuk mengembangkan perniagaan dipelawa memohon pembiayaan ditawarkan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor).
Agensi itu memaklumkan Skim i-Bisnes menawarkan pinjaman sehingga RM50,000 kepada usahawan untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan atau menambah modal pusingan.
"Skim i-Bisnes Hijrah Selangor sedia membantu! Dengan pembiayaan sehingga RM50,000 anda boleh terokai pelbagai peluang untuk perniagaan anda.
"Untuk maklumat lanjut, layari hijrahselangor.com atau imbas kod QR (poster di bawah) untuk permohonan secara dalam talian," maklumnya di Facebook.
Pada 11 September tahun lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Selangor berkata pihaknya meluluskan 90,475 pembiayaan sejak awal penubuhannya pada 2015 hingga Ogos lalu.
Jelas Dato’ Mearia Hamzah, pembiayaan itu telah memanfaat 60,249 usahawan Hijrah Selangor sekali gus membantu mereka melakukan pusingan modal perniagaan serta membeli kelengkapan perniagaan.
Sebelum ini Mearia memaklumkan pihaknya meletak sasaran untuk memberi pinjaman RM1 bilion kepada usahawan sempena sambutan ulang tahun kesembilan agensi itu pada tahun lepas.