Oleh Danial Dzulkifly
CYBERJAYA, 21 JAN: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menggesa negeri lain mencontohi Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) Selangor bagi melindungi sumber air dan alam sekitar.
Pengerusinya Charles Santiago berkata dasar itu penting untuk memastikan penggunaan air yang lestari, terutama ketika Malaysia mempergiat usaha menarik projek pusat data.
Dalam sidang media hari ini, beliau memuji Selangor sebagai pelopor dalam melaksanakan ZDP, yang menggalakkan kitar semula dan penggunaan semula air dalam industri seperti pusat data.
“Usaha Selangor melaksanakan ZDP patut dicontohi negeri lain. Pendekatan ini memastikan penggunaan air yang cekap sambil memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” katanya hari ini.
ZDP Selangor, yang disokong prinsip pencemar membayar (PPP), membantu negeri ini membiayai lebih banyak projek pemulihan sungai dengan mengenakan caj kepada industri berdasarkan pelepasan efluen melebihi had peraturan.
[caption id="attachment_446464" align="aligncenter" width="718"] Petugas Air Selangor menimba air untuk memeriksa kualitinya di muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2, Kuala Selangor pada 19 Oktober 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI[/caption]
Inisiatif itu sebahagian strategi untuk meningkatkan pengurusan kualiti air dan melindungi sungai negeri, yang merupakan sumber utama bekalan air mentah kepada penduduk.
Sebelum itu, Charles dalam ucapannya mencadangkan kerajaan membangunkan pusat data bagi menjamin bekalan air yang berterusan dan lestari di negara ini.
Beliau mendedahkan Selangor menerima 27 permohonan baharu untuk pusat data, manakala Johor sedang meneliti 32 lagi cadangan, yang bakal memberi tekanan besar kepada sumber air.
SPAN meramalkan pusat data di Selangor memerlukan sehingga 79 juta liter air minuman setiap hari menjelang 2032, bersamaan 30 kolam renang bersaiz Olimpik.
Berikutan itu, Charles berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menangguhkan kelulusan projek pusat data sehingga bekalan air dan elektrik mencukupi.
“Kami menggesa PBT untuk tidak meluluskan projek pusat data tanpa kapasiti sokongan mencukupi. Penilaian impak alam sekitar dan bunyi juga mesti dibuat sebelum pembangunan diteruskan,” katanya.