KLANG, 21 JAN: Kerajaan Negeri bakal memperkenalkan insentif baharu pada Jun hadapan bagi memenuhi objektif memberi sokongan kepada ibu bekerja.
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata insentif yang dikenali sebagai Asuh Pintar dan Tunas itu akan menggantikan skim MamaKerja yang tidak diteruskan tahun ini.
“Kami sedang mengkaji Asuh Pintar iaitu insentif bersifat subsidi sebanyak RM100 disalurkan kepada tadika selama setahun yang menyasarkan penerima berpendapatan RM3,000 ke bawah.
[caption id="attachment_683153" align="alignleft" width="495"] EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat YB Anfaal Saari bercakap pada media selepas Majlis Perasmian Swift EmpowerHER Program di Pelabuhan Klang Selangor pada 21 Januari 2025.Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Bagi Tunas, untuk kanak-kanak di taska dengan subsidi RM50 diberikan selama setahun. Kita mahu rangkumkan kedua-duanya yang bersifat menyokong ibu bapa bekerja,” katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau ditemui selepas melancarkan program Swift EmpowHER oleh syarikat penyedia perkhidmatan logistik bersepadu Swift Haulage Berhad di Pelabuhan Klang di sini, hari ini.
Anfaal menambah, model agihan insentif Asuh Pintar dan Tunas masih di peringkat kajian dengan jangkaan sasaran seramai 1,000 penerima.
“Kita sasar 1,000 orang tetapi modelnya kita akan kaji dahulu sebab skim MamaKerja dapat sambutan hebat dengan 5,000 penerima dan peruntukan RM5 juta,” katanya.
Disember lalu, Anfaal memaklumkan Kerajaan Negeri berhasrat mengkaji penjajaran semula beberapa insentif, termasuk skim MamaKerja bagi memastikan manfaat bantuan diterima secara menyeluruh.
MamaKerja merupakan insentif untuk wanita bekerja yang merupakan antara manifesto Kerajaan Negeri ditawarkan kepada rakyat ketika pilihan raya negeri pada Ogos 2023.
Skim dengan bayaran one-off RM1,000 layak dimohon wanita bekerja memiliki tiga anak berusia bawah 12 tahun dengan pendapatan isi rumah tidak lebih RM8,000.