PUTRAJAYA, 21 JAN: Kerajaan komited memastikan tiada mana-mana skim dalam sektor awam dipinggirkan dengan memberi perhatian serius terhadap sebarang pandangan dan ulasan membina untuk penambahbaikan agar semua perjawatan mendapat manfaat daripada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam kenyataan hari ini berkata ia sejajar dengan semangat SSPA untuk mengangkat agenda reformasi perkhidmatan awam dalam Malaysia MADANI.
Beliau berkata langkah itu demi mencapai tiga ikhtiar penting, iaitu meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam, kesediaan pegawai awam dalam melaksanakan perubahan sekali gus merancakkan daya saing negara.
Oleh itu, Wan Ahmad Dahlan berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini mengadakan Mesyuarat Kerja Pasca-SSPA Fasa 1 bersama dengan pengurus sumber manusia kementerian, jabatan persekutuan dan pejabat setiausaha kerajaan negeri bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas susulan pelaksanaan SSPA berkuat kuasa 1 Disember 2024.
Beliau berkata pelaksanaan berterusan maklum balas yang diperoleh daripada kementerian, jabatan persekutuan dan pejabat setiausaha kerajaan negeri memberi peluang kepada JPA untuk meneliti dan memberi perhatian terhadap isu berkait dengan pengurusan perubahan di sektor awam.
"Penganjuran mesyuarat kali ini juga memberi pertimbangan sewajarnya terhadap isu pengurusan sumber manusia setelah pelaksanaan Fasa 1 SSPA.
"Ia juga memfokuskan hasil dapatan 'Sesi Penandaarasan Kajian SSPA' yang turut merujuk aspek amalan terbaik perkhidmatan awam di kebanyakan negara lain," katanya.
Beliau berkata ia bagi mengiktiraf ekosistem pembangunan perjawatan yang lebih komprehensif demi menjamin modal insan ke arah pendigitalan dan teknikal dalam perkhidmatan, khususnya pendedahan kepada pegawai awam muda.
Dalam perkembangan lain, JPA turut mengadakan sesi klinik dan bertemu sua bagi setiap jawatankuasa kecil kerja dengan memberi ruang dan kefahaman kepada semua pegawai sumber manusia kementerian, jabatan persekutuan dan pejabat setiausaha kerajaan negeri dengan mengajukan pertanyaan berhubung pelaksanaan SSPA Fasa 1.
- BERNAMA