ad
AGENDA

Kilang penyimpanan gas, jentera berat di Klang terbakar, tiga cedera parah

21 Jan 2025, 1:38 AM
Kilang penyimpanan gas, jentera berat di Klang terbakar, tiga cedera parah

SHAH ALAM, 21 JAN: Sebuah kilang penyimpanan gas musnah dalam kebakaran yang turut merebak ke dua bangunan lain di Taman Aman Perdana, Klang dekat sini tengah malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata kebakaran menyebabkan tiga lelaki warganegara asing cedera parah akibat melecur, manakala empat lagi mangsa lelaki juga warganegara asing sempat menyelamatkan diri.

Beliau berkata kebakaran yang dipercayai bermula di kilang penyimpanan gas itu, merebak ke bangunan bersebelahan dan belakang, iaitu sebuah gudang penyimpanan jentera berat serta kilang memproses tembaga.

“Bomba menerima laporan mengenai kejadian kira-kira 12.55 tengah malam sebelum menggerakkan anggota dan jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara, Klang Selatan, Andalas, Bukit Jelutong, Kapar, Damansara dan Pelabuhan Klang ke lokasi kejadian.

“Kilang penyimpanan gas dan gudang penyimpanan jentera itu musnah 80 peratus, manakala kilang tembaga pula terbakar 20 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata seramai 43 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi berkenaan dan kebakaran berjaya dikawal kira-kira 2 pagi selain tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.