ad
AGENDA

Batalion 5 PGA tumpas 80 kes libat nilai rampasan lebih RM23 juta

20 Jan 2025, 3:00 PM
Batalion 5 PGA tumpas 80 kes libat nilai rampasan lebih RM23 juta

KLUANG, 20 JAN: Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia berjaya menumpaskan 80 kes membabitkan jenayah penyeludupan, pendatang tanpa izin, kontraban dan jenayah rentas sempadan dengan nilai rampasan RM23,344,561.21 sepanjang tahun lalu.

Komander Briged Tengah PGA SAC Hakemal Hawari menerusi kenyataan di sini hari ini berkata menerusi Op Taring Nyah 1 Johor/Selangor itu, pihaknya menahan 262 suspek terdiri daripada 240 lelaki dan 22 wanita atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata di bawah Akta Kastam 1967 sejumlah 30 kes direkodkan membabitkan nilai rampasan RM14.5 juta; Akta Imigresen 1959/63 dengan lapan kes melibatkan 120 tangkapan serta jumlah rampasan RM775,070 dan Akta ATIPSOM 2007 iaitu enam kes melibatkan 22 tangkapan dengan nilai rampasan RM225,737.64.

“Kes lain adalah di bawah Akta Bahan Letupan 1957 (satu kes) dengan rampasan RM263,339; Akta Penghapusan Samsu Gelap 1976 (satu kes) dengan rampasan RM52,554 dan Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (lapan kes) dengan rampasan RM5.3 juta.

“Turut tumpas adalah kes yang disiasat di bawah Akta Racun 1952 (dua kes) dengan nilai rampasan RM329,704; Akta Kawalan Bekalan 1961 (tiga kes) dengan nilai rampasan RM1.48 juta dan Akta Hidupan Liar 2022 (lima kes) dengan rampasan RM375,730,” katanya.

Hakemal berkata kejayaan terbesar dalam operasi berkenaan adalah tangkapan dan rampasan di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan melibatkan rokok seludup bernilai RM2.55 juta, selain kes di Setia Indah, Johor dengan rampasan RM1.65 juta, kedua-duanya di bawah Akta Kastam 1967.

Untuk tahun ini, Hakemal berkata setakat ini pihaknya berjaya menumpaskan satu kes mengikut Akta ATIPSOM 2007 yang melibatkan tujuh tangkapan serta rampasan bernilai RM16,019 dan dua kes di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 yang melibatkan rampasan berjumlah RM1.01 juta.

Hakemal juga menyeru orang ramai untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tampil menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah penyeludupan melalui talian Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA di 07-7757280.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.