ad
AGENDA

Kanak-kanak lelaki enam tahun lemas, terjatuh sungai ketika memancing

20 Jan 2025, 1:30 PM
Kanak-kanak lelaki enam tahun lemas, terjatuh sungai ketika memancing

KOTA BHARU, 20 JAN: Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan lemas di dalam sungai di Kampung Mujur, Jelawat, Bachok, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata Muhammad Bashir Mohd Arman dipercayai terjatuh ke dalam sungai itu ketika memancing bersama abangnya 9 pagi tadi.

"Ketika sedang memancing mangsa tergelincir ke dalam sungai dan cuba dibantu abangnya namun gagal.

"Bapa mangsa, Mohd Arman Remli, 39, yang mengetahui kejadian itu terus menghubungi pihak bomba," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi mencari yang dijalankan bomba dan polis menemukan mangsa kira-kira 1 tengah hari di lokasi kanak-kanak itu terjatuh.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bachok. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk bedah siasat dan kes setakat ini diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.