ad
AGENSI

Novel kisah wanita Palestin dizalimi Israel paling laris dua minggu berturutan

20 Jan 2025, 12:00 PM
Novel kisah wanita Palestin dizalimi Israel paling laris dua minggu berturutan
Novel kisah wanita Palestin dizalimi Israel paling laris dua minggu berturutan

SHAH ALAM, 20 JAN: Novel kisah kesengsaraan wanita Palestin yang dizalimi tentera Israel terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) muncul karya terjemahan paling laris keluaran syarikat berkenaan pada minggu lalu.

Memaparkan peristiwa kisah benar yang berlaku di padang pasir Negev pada 1949, naskhah tersebut mengatasi jualan buku Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal dua minggu berturut-turut.

“Novel ini terkenal dengan terjemahan bahasa Inggerisnya Minor Detail (2020) dan sering mendapat pujian ramai pengkritik sastera. Adania Shibli, pengarang berasal dari Palestin.

“Novel ini wajib dibaca bagi yang peka dengan keadaan di Palestin kerana ia bukan sekadar novel tetapi pengalaman dan trauma perang moden,” menurut syarikat itu di Facebook.

Sebelum ini, Eksekutif Jualan dan Pemasaran IBDE Mohammad Hakim Mohammad Hood memberitahu naskhah riwayat Rasulullah itu mengungguli senarai buku terlaris sepanjang tahun lalu.

Karya yang diterbitkan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) pada 2021 terjual sebanyak 100,000 setakat ini.

IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri giat menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre meliputi sejarah, falsafah dan agama, sesetengah naskhah asal berusia ribuan tahun.

Syarikat penerbitan itu kemudian menjalin usaha sama dengan Media Selangor Sdn Bhd bagi meneruskan usaha menerbitkan naskhah terjemahan bermutu tinggi.

Karya terbitan IBDE boleh didapati melalui kedai buku Rencana di Sri Damansara, Petaling Jaya atau secara atas talian menerusi pautan bukuibde.com

Berikut kedudukan carta buku terbitan IBDE minggu lalu:

1. Perincian

2. Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal

3. Ramuan Kebahagiaan

4. Memelihara Jiwa: Petua daripada Tabib Kurun ke-9

5. 40 Hadis Imam Nawawi: Sebuah Huraian untuk Dunia Semasa

6. Hikayat Hayy bin Yaqzan: Manusia Asuhan Rusa

7. Bintang Merah di Langit Malaya: Sebelum dan Selepas Pendudukan Jepun 1941–46

8. Muhammad: His Life Based on the Earliest Sources

9. 'Umar Al-Khattab: Kebijaksanaan Sebagai Pedang

10. Mata-mata Gelap Malaya: Peranan Cawangan Khas pada Zaman Darurat 1945–60

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.