OLEH UFAIRAH TARMIDZI
SUNGAI BULOH, 20 JAN: Selangor terus kekal sebagai destinasi pelancongan utama negara dengan pelbagai tarikan yang memenuhi cita rasa pelancong.
Selangor adalah negeri yang paling tepat untuk melancong kerana negeri ini juga kaya dengan pelbagai warisan budaya dan tarikan semula jadi.
Berikut pandangan orang ramai mengenai pelancongan Selangor dan perkara yang boleh ditambah baik sempena kempen Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025.
"Saya memang suka pergi ke Sekinchan, suasana kampungnya yang sangat tenang dan nyaman dengan pemandangan sawah menghijau terbentang luas ditambah pula perkampungan di tengah bendang.
"Sekinchan juga tempat yang sesuai untuk mereka yang ingin lari dari kesibukan bandar kerana mereka dapat berehat dan menikmati keindahan alam," Mohd Zakwan Abdullah Hasim, 32, pekerja swasta
"Saya mencadangkan bagi mereka yang ingin melancong ke Selangor untuk pergi ke Pantai Bagan Lalang, Sekinchan dan Kuala Selangor kerana ketiga-tiga lokasi ini sangat sesuai untuk mereka menghabiskan cuti hujung minggu dengan beriadah bersama keluarga.
"Contohnya, di Kuala Selangor, destinasi pelancongan yang terkenal dengan pemandangan kelip-kelip di sepanjang sungai paya bakau menawarkan pengalaman luar biasa kepada pengunjung.
"Kempen Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025 ini juga menyaksikan ia bakal melonjakkan lagi ekonomi penduduk setempat dan memberi manfaat kepada kawasan di sekitarnya," Shahril Cheah, 37, pekerja swasta
"Saya lebih memilih untuk meluangkan masa bersama-sama keluarga dengan pergi pusat membeli-belah seperti Elmina Lakeside Mall kerana bangunannya direka sebagai konsep terbuka.
"Banyak tarikan ditawarkan kepada pengunjung antaranya, tasik, tempat riadah dan taman permainan yang sesuai untuk kanak-kanak.
"Dari segi infrastruktur, Kerajaan Selangor boleh memperbanyak pengangkutan awam seperti bas di kawasan sekitar untuk memudahkan pergerakan pengunjung yang hadir ke kawasan ini," Nik Muhamad Anas Kamarudin, 34, pekerja swasta