SUBANG JAYA, 20 JAN: Seramai 200 penduduk Tionghua sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan menerima baucar RM200 sempena perayaan Tahun Baharu Cina hujung bulan ini.
Penyelaras DUN berkata penerima merupakan golongan berpendapatan rendah dan bantuan dapat meringankan perbelanjaan mereka dalam menyediakan keperluan raya.
“Hari ini (semalam) kita serahkan bantuan ini supaya mereka dapat membeli segala keperluan lebih awal. Semoga bantuan ini dapat memeriahkan sambutan raya mereka.
“Penerima ini merupakan pengundi Taman Medan yang berpendapatan rendah. Kita pastikan mereka tidak menerima bantuan lain supaya bantuan negeri adil kepada semua,” kata Halimey Abu Bakar.
Terdahulu, beliau menyerahkan bantuan terbabit di Mydin Mall Subang Jaya, dekat sini. Turut hadir Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin.
[caption id="attachment_682872" align="alignnone" width="788"] Sebahagian penerima baucar Jom Shopping Perayaan sempena Tahun Baharu Cina 2025 DUN Taman Medan di Mydin Mall Subang Jaya pada 19 Januari 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
Penerima bantuan, Lee Chooi Ying, 29, berkata baucar berkenaan akan digunakan untuk membeli keperluan dapur antaranya beras serta milo.
“Saya menyara empat lagi ahli keluarga lain termasuk ibu dan bapa. Jadi baucar ini dapat kurangkan beban belanja perayaan dan beri penjimatan,” katanya.
Pada Disember, EXCO Pembasmi Kemiskinan V Papparaidu berkata sebanyak 23,800 baucar bernilai RM200 bakal diagih sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini melibatkan peruntukan RM4.76 juta.
Selain perayaan ini, inisiatif bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) turut diberi kepada keluarga kurang mampu untuk menyambut Aidilfitri dan Deepavali.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan RM12 juta diperuntuk bagi baucar Jom Shopping Perayaan.