ad
AGENDA

Menteri: Perairan negara dikawal rapi, bendung pencerobohan pelarian Rohingya

19 Jan 2025, 9:30 AM
Menteri: Perairan negara dikawal rapi, bendung pencerobohan pelarian Rohingya

PUTRAJAYA, 19 JAN: Pasukan penguat kuasa terutamanya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa siap siaga mengekang pencerobohan di kawasan perairan negara, termasuk membendung cubaan kemasukan pelarian Rohingya dari Myanmar yang meningkat kebelakangan ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata hampir setiap hari bot yang membawa pelarian dari negara berkenaan dikesan berada di perairan antarabangsa dan cuba menceroboh perairan Malaysia tetapi berjaya dihalang oleh pasukan keselamatan.

Beliau berkata kemasukan pelarian dari negara Myanmar itu disebabkan isu yang melanda negara asal mereka serta faktor tarikan Malaysia yang mempunyai ekonomi stabil dan aman.

"Mengenai faktor penolak ini, seperti yang kita sedia maklum di peringkat ASEAN, memang isu Myanmar ini kita bincangkan," katanya dalam sidang media selepas meninjau persiapan Asia International Security Summit and Expo di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Mengulas mengenai kira-kira 200 pelarian dari Myanmar yang menaiki sebuah bot dan mendarat di pantai Teluk Yu berhampiran Ayer Hangat, Langkawi pada awal pagi Jumaat lepas, Saifuddin Nasution berkata mereka semua telah diprofilkan dan ditempatkan di depot imigresen.

Beliau berkata perkara berkenaan dilakukan atas dasar kemanusiaan.

Mengulas mengenai arahan anggota polis perlu memenuhi syarat indeks jisim badan (BMI) kurang daripada 28 untuk kenaikan pangkat, Saifuddin Nasution berkata ia sebahagian proses pengesahan kenaikan pangkat selain sebagai lambang disiplin pasukan berkenaan.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.