SHAH ALAM, 19 JAN: Isu perumahan rakyat bagi membantu golongan muda memiliki kediaman sendiri antara tumpuan Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, pada tahun ini.
R Rajiv mencadangkan lebih banyak Rumah Selangorku dibina terutama di kawasan Petaling Jaya Selatan (PJS) dengan kemudahan akses jaringan pengangkutan awam.
“Saya akan menumpukan rancangan pembangunan semula kawasan PJS antaranya merangka pelan mencadangkan kemudahan Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dibina di kawasan ini.
“Selain mengurangkan kesesakan lalu lintas, ia untuk tidak menggalakkan anak muda di Bukit Gasing berhijrah ke luar kawasan. Jadi untuk keselesaan mereka, saya akan usahakan membina semua kemudahan ini,” katanya kepada Media Selangor.
Ditanya mengenai harapan pada tahun ini, Rajiv mahu segala dasar termasuk Belanjawan 2025 yang dirangka Kerajaan Negeri dapat meningkatkan tahap kehidupan dan kesejahteraan rakyat.
“Harapan saya juga negeri yang berlatarkan masyarakat majmuk ini terus hidup dalam keadaan harmoni,” katanya.
[caption id="attachment_640862" align="aligncenter" width="814"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melihat replika Rumah Selangorku Lagenda Ardea selepas majlis pecah tanah di tapak pembinaan Lagenda Ardea, Bernam Jaya, Hulu Selangor pada 3 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
Sebanyak 254,606 unit Rumah Selangorku diluluskan pembinaan sejak sedekad lalu menerusi 448 projek bagi membantu rakyat negeri ini memiliki kediaman sendiri.
Dari jumlah berkenaan, 41,196 unit melibatkan 128 projek sudah diserahkan kunci kepada pemilik, 63 projek membabitkan 26,667 unit dalam proses pembinaan manakala 186,743 unit menerusi 257 projek dalam fasa perancangan.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbirannya menyasarkan pembinaan lebih 200,000 unit Rumah Selangorku menjelang 2028 bagi membantu ramai rakyat negeri ini memiliki kediaman sendiri.