KUALA SELANGOR, 18 JAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memohon kebenaran mahkamah bagi melanjutkan penjagaan sebahagian kanak-kanak GISB Holdings (GISBH) minggu depan.
EXCO kebajikan masyarakat berkata ia memandangkan tempoh perlindungan hak jagaan sementara (IPO) kanak-kanak yang kini bawah tanggungjawab mereka berakhir hujung bulan ini.
“Sebelum ini terdapat lagi lebih 120 anak-anak GISBH. Daripada jumlah itu 51 telah dikembalikan kepada keluarga manakala sembilan lagi masih dijaga JKM selepas melalui prosiding mahkamah pada 15 Januari.
“Untuk baki selebihnya, permohonan akan dibuat minggu depan melibatkan mahkamah kanak-kanak di Ampang, Petaling Jaya dan Shah Alam,” katanya Anfaal Saari hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan pembukaan cawangan BS FreshMart Rawang serta menyampaikan sumbangan bakul Rahmah kepada golongan berpendapatan rendah.
Berhubung pemulangan kanak-kanak ke pangkuan keluarga, Anfaal berkata pihaknya mengenakan beberapa syarat antaranya aspek pendidikan serta kesihatan mental.
[caption id="attachment_682588" align="aligncenter" width="736"] EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfal Saari pada Majlis Pembukaan Cawangan BS Freshmart yang ke-25 dan program CSR bakul makanan kepada keluarga asnaf di BS Freshmart Bandar Tasik Puteri, Rawang pada pada 18 Januari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
"Mereka (anak-anak GISBH) ada yang menghadapi trauma. JKM memulangkan secara bersyarat iaitu mereka ada bon atau beberapa perkara dinilai dan dipantau secara berkala bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terpelihara.
"Dari segi indoktrinasi, itu di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan memastikannya. Kita dimaklumkan MKN membuka peluang untuk program seperti taubat secara sukarela bagi melalui proses pemulihan dan dipantau dari masa ke semasa," katanya.
Beliau turut menasihatkan semua kanak-kanak berkenaan untuk mengikuti aliran persekolahan arus perdana bawah Kementerian Pendidikan.
"Kebanyakan kes anak-anak itu tidak mengikuti sebarang pendidikan formal dengan mereka mengatakan melalui program tahfiz. Bagaimanapun tiada rekod,”katanya.
Pada 10 September tahun lalu, polis menyerbu 20 premis GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan selepas mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
Dalam Op Global itu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan selain dipercayai menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.
Susulan itu, Kerajaan Negeri menubuhkan satu jawatan kuasa khas terdiri daripada wakil Jais Majlis Agama Islam Selangor, polis dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bagi membuat penilaian kepada semua mangsa.
Turut terlibat JKM, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Lembaga Zakat Selangor, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Yayasan Selgate, Persatuan Taska Negeri Selangor selain agensi swasta dan bukan kerajaan.