Oleh AIDA NYAN
KUALA LUMPUR, 17 JAN: Meskipun pengumuman gencatan senjata membuatkan dunia dan penduduk Palestin menarik nafas lega, namun ia tidak bermakna perjuangan mempertahankan bumi Gaza dihentikan.
Pelukis Ana Alasri bagaimanapun berkata masih banyak lagi perkara yang perlu diperjuangkan terutama kesedaran tentang kehilangan yang mereka alami susulan tindakan kejam terus menerus tentera Zionis.
[caption id="attachment_682537" align="aligncenter" width="811"] Pelukis Ana Alasri, 29, ketika ditemui di Galeri Seni Anifest di Pusat Beli Belah KL Gateway, Kuala Lumpur pada 17 Januari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
"Teruskan bersolidariti secara dalam talian dan ikuti perkembangan mereka sebab ada berita yang hanya tunjuk berita kegembiraan mereka, hakikatnya mereka masih susah.
"Jangan percaya sangat perjanjian gencatan senjata ini betul-betul diikuti, tapi bagus untuk orang Palestin bertenang seketika," katanya kepada Media Selangor.
Ditemui di Galeri Seni Anifest di Pusat Beli Belah KL Gateway, di sini semalam, Ana berkata beliau berharap gencatan senjata berfasa ini memberi kesan positif terhadap kemerdekaan Palestin.
"Harap kemerdekaan Palestin makin dekat macam mana cara sekalipun sebab tiada siapa boleh jangka yang satu dunia akan sokong Palestin.
"Dengan gencatan senjata ini harap ada kesan positif yang boleh mendekatkan kemerdekaan kepada Palestin." kata anak seni yang sering menghasilkan karya mengkritik zionis itu.
Ana Alasri merupakan antara anak seni yang sering menghasilkan karya mengkritik penindasan terhadap rakyat Palestin.
Melalui karya lukisan atas sampul surat, wanita berusia 29 tahun itu meluahkan rasa sakit hati terhadap kekejaman zionis sekali gus mahu menjentik hati masyarakat.
[caption id="attachment_682538" align="aligncenter" width="815"] Pelukis Ana Alasri, 29, tekun menyiapkan lukisan atas sampul surat ketika kunjungan Media Selangor di Galeri Seni Anifest di Pusat Beli Belah KL Gateway, Kuala Lumpurpada pada 17 Januari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Ana berharap karyanya dapat memberi kesedaran dan peringatan kepada masyarakat di pelosok dunia.
Pada 14 Januari lalu, rakyat Palestin menerima khabar gembira apabila Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar, Mohammed Abdulrahman mengumumkan perjanjian gencatan senjata berjaya dan bermula hari ini.
Serangan terhadap Gaza oleh Israel telah berlangsung selama lebih dari 15 bulan, bermula sejak 7 Oktober 2023.
Bagaimanapun, perang antara mereka berterusan berpuluh tahun dimana mereka kehilangan nyawa dan ditindas demi mempertahankan hak dan negara mereka.