ad
AGENDA

Warga emas rugi setengah juta terpedaya pelaburan tidak wujud

18 Jan 2025, 4:46 AM
Warga emas rugi setengah juta terpedaya pelaburan tidak wujud

JOHOR BAHRU, 18 JAN: Seorang lelaki warga emas kerugian RM500,000 apabila terpedaya pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan, kata Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh.

Beliau berkata pihaknya menerima satu laporan semalam daripada mangsa berusia 84 tahun yang mendakwa dirinya telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp pelaburan dan berurusan dengan individu bernama “Dong Yuan” di talian +1(720)9843320 pada Oktober lepas.

“Dong Yuan” telah memberikan penerangan mengenai pelaburan itu yang menjanjikan keuntungan hingga 100 peratus.

Beliau berkata mangsa yang tertarik dengan keuntungan dijanjikan telah memuat turun aplikasi 'DIGZAXXCE' bagi memantau keuntungan dan sebanyak 12 transaksi pembayaran telah dibuat mangsa melalui cek ke dua akaun berbeza yang diberikan bermula 6 hingga 15 Jan dengan jumlah keseluruhan RM500,000.

"Mangsa menyedari ditipu setelah akauntannya memberitahu pelaburan itu tidak betul selepas diminta membuat bayaran tambahan jika ingin mengeluarkan wang keuntungan dalam dolar AS sepertimana dipaparkan dalam pautan (http://www.digzaxa.com).

“Sekiranya mangsa enggan membuat bayaran lebih, keuntungan akan dibekukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan juga akan meliputi penglibatan 'keldai akaun'.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.