ad
BUDAYA

Sekuntum Nafas Terakhir

18 Jan 2025, 12:30 AM
Sekuntum Nafas Terakhir

(buat aki)

 

kutatap garis di wajahmu

urat-urat dan putih ubanmu

daging tua di balik rahap

maha syahdu menyusup kalbu

seluruh engkau telah kaku

kukenang betapa dulu

gagahmu menakluk hutan

tenang, membentuk peribadiku

kucium dahimu, sesejuk pagi

matamu kini terkatup abadi

bawa pergi separuh pemandanganku

awan gelap menabir mentari

tenteramlah, aki

di alam seberang

antara kau dan kami

hanya nisan, petang, dan

sejumlah waktu berbaki

kukambus tanah

kulepaskan separuh duniaku.

Abdullah Hussaini

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.