ad
AGENDA

KPM pertimbang perluas inisiatif Baucar Buku Madani kepada guru

17 Jan 2025, 5:00 AM
KPM pertimbang perluas inisiatif Baucar Buku Madani kepada guru

NIBONG TEBAL, 17 JAN: Kementerian Pendidikan (KPM) mempertimbangkan untuk memperluas inisiatif Baucar Buku MADANI kepada guru pada masa akan datang.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pada masa ini, baucar bernilai RM50 diberikan kepada murid Tahun 4 ke atas, manakala RM100 kepada pelajar sekolah menengah, kolej vokasional, Tingkatan Enam, matrikulasi, dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

"Kementerian akan mengangkat satu nota Jemaah Menteri dan akan dibentangkan dalam Kabinet untuk melaporkan kejayaan inisiatif ini yang mencapai penebusan 100 peratus termasuk di kawasan luar bandar.

"Ini kejayaan yang cukup besar dan kita berjaya laksanakan dengan hasil komitmen semua pihak, terutama para guru," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2025 Peringkat Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan Seri Tasek di sini hari ini.

Melihat kepada keupayaan dan komitmen semua pihak terhadap inisiatif terbabit, beliau berkata KPM berharap untuk meneruskan inisiatif itu dan menambah baucar berkenaan untuk guru.

Ditanya nilai baucar yang akan diberikan kepada guru, beliau berkata perkara itu perlu dibincangkan dahulu bersama pihak Kementerian Kewangan.

Sementara itu, Fadhlina berkata sebanyak RM33.9 juta BAP telah diperuntukkan oleh kerajaan untuk diagih kepada 226,004 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di Pulau Pinang untuk sesi persekolahan 2025/2026.

Beliau berkata sebanyak RM791.25 juta telah diperuntuk kerajaan untuk pembayaran sekali bayar RM150 bagi setiap pelajar kepada lebih daripada 5.2 juta pelajar seluruh negara.

"BAP adalah amanah yang diberi khusus untuk persiapan persekolahan anak-anak dan pihak kementerian sentiasa berusaha untuk merapatkan kesenjangan, namun hal ini memerlukan sokongan rakan strategik seperti syarikat swasta," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.