ad
AGENDA

Sidang niaga Selangor antara acara rasmi Sidang Kemuncak Asean 2025

17 Jan 2025, 4:00 AM
Sidang niaga Selangor antara acara rasmi Sidang Kemuncak Asean 2025
Sidang niaga Selangor antara acara rasmi Sidang Kemuncak Asean 2025
Sidang niaga Selangor antara acara rasmi Sidang Kemuncak Asean 2025

SHAH ALAM, 17 JAN: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) dijadikan antara acara rasmi Sidang Kemuncak Asean 2025, maklum Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata memandangkan penganjuran SIBS yang dijadual Oktober, ia diselaras sempena giliran Malaysia sebagai pengerusi Asean pada tahun ini.

“Syukur Alhamdulillah, kerjasama utuh dan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri memberi manfaat kepada rakyat Selangor,” katanya di Facebook.

[caption id="attachment_668188" align="alignnone" width="773"] Orang ramai memenuhi reruai pihak berkuasa tempatan Selangor ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Menurut Amirudin, tahun lalu mencatat sejarah, apabila kedua-dua persidangan berorientasikan ekonomi iaitu SIBS dan Pameran Udara Selangor (SAS) mencatat potensi nilai transaksi membanggakan dan melebihi sasaran.

Beliau menjelaskan SAS mencatat potensi nilai transaksi RM3.2 bilion iaitu tertinggi dalam sejarah penganjurannya dengan menampilkan 88 syarikat penerbangan dan aeroangkasa terkemuka.

“Sebanyak 41 memorandum persefahaman (MoU) terjalin iaitu hampir dua kali ganda berbanding SAS 2023.

"SAS juga mungkin dijenamakan semula dengan pelbagai komponen segar termasuk lokasi baharu,” katanya.

Tambah beliau, tahun lepas juga menyaksikan SIBS berlangsung sebanyak dua siri dengan potensi nilai transaksi keseluruhan terbesar iaitu RM13.86 bilion.

“Penyertaan beberapa negara jiran Asean, Australia, Kanada, China, Perancis, Jerman, Jepun, dan United Kingdom menyaksikan sidang berprestij ini semakin penting dalam dunia perniagaan,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin berkata SIBS 2025 dijadual berlangsung pada 8 hingga 11 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan Belanjawan 2025 memperuntuk RM20 juta untuk penganjurannya.

Malaysia mengambil alih kepengerusian Asean pada 1 Januari 2025 daripada Laos, dengan bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk Asean yang bersatu dan makmur.

Ia merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan pengerusi Asean selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Asean yang diasaskan pada 8 Ogos 1967 kini dianggotai 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam manakala kemasukan Timor-Leste untuk menjadi negara anggota masih lagi dalam proses.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.