ad
BERITA UTAMA

Memahami hukum al-Quran, fikah Islam penyelesaian masalah umat

17 Jan 2025, 2:01 AM
Memahami hukum al-Quran, fikah Islam penyelesaian masalah umat
Memahami hukum al-Quran, fikah Islam penyelesaian masalah umat

Hukum taklifi dibahagi kepada lima jenis iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus.

Ini kerana dalam nas, perintah boleh berbentuk suruhan, larangan atau pilihan:

1. Suruhan. Ia dilihat dalam kerangka berikut:

  • Jika bersifat mesti dilakukan, ia dinamakan wajib.
  • Jika tidak bersifat mesti dilakukan, tetapi digalakkan, ia dinamakan sunat.

2. Larangan. Ia dilihat dalam kerangka berikut;

  • Jika bersifat larangan keras (mesti dijauhi), ia dinamakan haram.
  • Jika tidak bersifat larangan keras tetapi disarankan untuk ditinggalkan, ia dinamakan makruh.

3. Pilihan. Jika seseorang diberi kebebasan untuk memilih antara melakukan sesuatu atau meninggalkannya, ia dinamakan harus.

Pendekatan al-Quran dalam menjelaskannya Hukum;

  • Ayat yang Tegas dan Tidak Memerlukan Ijtihad

    Sebahagian ayat hukum disampaikan secara jelas dan tegas, tidak memberi ruang kepada ijtihad.

Contohnya; dalam kerangka wajib, seperti solat, zakat, puasa; pembahagian harta pusaka: Bahagian waris yang telah ditentukan. Dalam kerangka haram, seperti zina, qazaf, memakan harta orang lain secara batil, dan pembunuhan tanpa hak.

Ayat-ayat ini menjadi asas yang diketahui secara pasti dalam agama. Mengingkarinya akan mengeluarkan seseorang dari Islam.

  • Ayat yang Memerlukan Ijtihad dan Penafsiran

    Sebahagian ayat hukum tidak menentukan maksud secara terperinci, memberi ruang kepada perbahasan dan ijtihad.

Contohnya, tafsiran ayat tentang wuduk bahawa bahagian kepala yang perlu disapu atau kewajiban nafkah kepada isteri yang diceraikan secara bain.

Ayat seperti ini terbuka kepada tafsiran berasaskan dalil dan hujah yang kuat tanpa menimbulkan persoalan akidah. Setiap mujtahid mengikuti tafsiran yang paling kuat menurut penilaiannya.

Perbezaan antara kedua-duanya adalah ayat kategori pertama setara dengan akidah, wajib diikuti oleh setiap individu tanpa pengecualian.

Ayat kategori kedua memberi ruang kepada kepelbagaian pandangan dalam lingkungan ijtihad yang dibenarkan tanpa mengancam akidah jika pandangan tertentu ditolak.

Dari kategori ayat kedua ini muncul kepelbagaian mazhab dalam Islam dan berbezanya pandangan para ahli fiqh sehingga dalam satu isu hukum, kadangkala terdapat tujuh atau lapan pendapat.

Tidak boleh dikatakan bahawa semua pendapat itu adalah agama yang wajib diikuti kerana terdapat percanggahan antara pandangan-pandangan tersebut. Begitu juga, tidak boleh dinyatakan bahawa hanya satu pendapat tertentu sahaja yang menjadi agama kerana tiada keutamaan jelas antara pendapat tersebut kecuali dengan adanya dalil yang menguatkannya.

Tidak juga boleh dikatakan bahawa agama itu berada dalam salah satu pendapat tanpa dapat ditentukan kerana itu menjadikan agama bersifat samar-samar dan tidak jelas. Sebaliknya, yang boleh dikatakan ialah pandangan-pandangan tersebut hasil pemahaman dan ijtihad ulama.

[caption id="attachment_647635" align="alignnone" width="820"] Pelajar Tahfiz membaca Al-Quran ketika majlis Tadarus Al-Quran Perdana Hulu Selangor di Masjid Nurul Iman, Hulu Selangor pada 19 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]

Pemerintah atau pihak yang bertanggungjawab boleh memilih mana-mana pandangan untuk diamalkan, berdasarkan apa yang dianggap terbaik dan paling sesuai dengan maslahah (kepentingan umum).

Inilah rahsia keluasan fiqh Islam yang mampu menawarkan penyelesaian terhadap pelbagai masalah sosial, walaupun zaman terus berkembang, bentuk-bentuk peristiwa bertambah, dan kemajuan peradaban semakin maju.

Al-Quran tidak mengikuti pendekatan yang digunakan dalam buku-buku yang menyenaraikan hukum-hukum yang berkaitan dengan satu topik di satu tempat sahaja, yang kemudian hanya kembali membincangkannya apabila relevan.

Sebaliknya, ayat-ayat mengenai hukum-hukum tersebar dalam berbagai-bagai tempat dalam al-Quran. Sebagai contoh, hukum-hukum tentang talak dan penyusuan, hukum tentang arak dan larangannya boleh ditemui bersebelahan dengan ayat-ayat yang berkaitan dengan peperangan dan urusan orang yang kurang upaya, seperti dalam surah al-Baqarah, yang merangkumi ayat-ayat mengenai solat, puasa, haji, peperangan, pernikahan dengan perempuan musyrik, sumpah, qisas, wasiat, dan talak.

Demikian juga, terdapat hukum-hukum mengenai haji yang disebut sebahagiannya dalam surah al-Baqarah, sementara sebahagian lagi disebut dalam surah al-Hajj.

Kebanyakan hukum dalam al-Quran datang secara umum, menunjukkan tujuan-tujuan syariat dan prinsip-prinsip dasarnya serta memberi ruang kepada para mujtahid untuk memahami dan menggali hukum-hukum tersebut berdasarkan prinsip dan tujuan berkenaan.

Sebagai tambahan, syariat Islam mendorong umat untuk berijtihad dan mengambil hukum-hukum yang lebih terperinci berdasarkan prinsip dan tujuan umum dari syariat. Al-Quran memberi kedudukan tinggi bagi orang yang berilmu dan berkemampuan dalam mengeluarkan hukum yang dikenali sebagai mujtahid dan memerintahkan umat untuk merujuk kepada mereka dalam hal-hal yang mereka perlukan.

Sebagaimana disebutkan dalam ayat ke-59, Surah Al-Nisa': "Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul-Nya, dan ulil amri (pemimpin) di antara kalian." atau ayat ke-83, Surah al-Nisa': "Dan sekiranya mereka merujuknya kepada Rasul dan ulil amri di antara mereka, niscaya orang-orang yang ingin menafsirkan itu akan mengetahui." atau ayat ke-43, Surah al-Nahl: "Maka bertanyalah kepada ahli zikir (ulama) jika kamu tidak mengetahui."

Dengan ayat-ayat seperti ini, al-Quran mendorong umat untuk berijtihad dalam memahami hukum-hukum dan bertanya kepada orang yang memiliki ilmu dan pengetahuan. Nabi dan para sahabatnya menyediakan jalan untuk penarikan hukum bagi para imam dan ulama setelah mereka, yang memperlihat betapa luas dan lengkapnya syariat Islam. Hal ini menunjukkan bahawa syariat Islam benar-benar cocok untuk mengatur semua aspek kehidupan baik sosial maupun individu, hingga hari kiamat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.