ad
AGENDA

Imigresen serbu kilang gaji warga asing, 56 dari lima negara ditahan

17 Jan 2025, 1:34 AM
Imigresen serbu kilang gaji warga asing, 56 dari lima negara ditahan

PUTRAJAYA, 17 JAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu kilang kayu serta kilang plastik di Semenyih dan Balakong, Selangor yang menggaji pekerja asing.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata serbuan itu dilakukan pasukan operasi pada 13 Jan lepas berdasarkan maklumat awam dan risikan.

Beliau berkata seramai 82 warga asing serta tujuh rakyat tempatan telah diperiksa.

"Seramai 56 warga asing terdiri tiga lelaki dan empat wanita warga Indonesia serta 27 lelaki dan 11 perempuan rakyat Myanmar telah ditahan.Turut ditahan lima lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh, empat wanita rakyat Thailand dan seorang lelaki warga China," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semasa serbuan, terdapat pekerja warga asing cuba melarikan diri serta bersembunyi di dalam kawasan kilang yang dipenuhi timbunan kayu.

Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.

Zakaria berkata sebanyak lima saman turut dikeluarkan kepada rakyat tempatan untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.