ad
AGENSI

Wakaf Selangor bina maahad tahfiz bertaraf antarabangsa di Shah Alam

17 Jan 2025, 1:00 AM
Wakaf Selangor bina maahad tahfiz bertaraf antarabangsa di Shah Alam
Wakaf Selangor bina maahad tahfiz bertaraf antarabangsa di Shah Alam

SHAH ALAM, 17 JAN: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) bakal membangunkan maahad tahfiz bertaraf antarabangsa di atas tanah yang diwakafkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ketua pegawai eksekutifnya berkata pembangunan Maahad Integrasi Tahfiz Sains Selangor itu dijangka bermula 2026 di tanah seluas 9.9 ekar (4.00 hektar) di Seksyen 7, di sini.

Menurut Anuar Hamzah Tohar, projek itu bagi menzahirkan hasrat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

"Tuanku turut berhasrat agar maahad tahfiz ini menekankan terhadap keperluan pelbagai bahasa seperti Inggeris, Arab dan satu lagi bahasa lain yang boleh diutamakan termasuk pengajian al-Quran.

"Oleh itu, pelajar yang cemerlang berpotensi dihantar ke peringkat universiti utama di Eropah seperti Cambridge dan Oxford yang mana kita mahu mereka ada asas al-Quran dan mampu menjadi seorang pemimpin apabila kembalinya ke Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perutusan Pengerusi PWS Dato' Ibrahim Md Yusof di Hotel Concorde di sini, semalam.

[caption id="attachment_682386" align="alignnone" width="821"] Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Dato' Ibrahim Md. Yusof bergambar bersama wakil penerima agihan manfaat hartanah wakaf 2024 selepas Majlis Perutusan Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) 2025 di Hotel Concorde, Shah Alam pada 16 Januari 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Jelas Anuar Hamzah lagi, PWS masih mencari operator untuk membangunkan maahad tahfiz tersebut dengan kos pembinaan kira-kira RM45 juta.

"Sekarang sudah ada perbincangan awal mengenai pembinaan maahad tahfiz ini dengan beberapa pihak dan kami masih mencari operator untuk membangunkan bangunan ini.

"Insya-Allah, jika cukup semuanya dan tiada aral melintang projek pembangunan akan bermula pada tahun depan," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.