ad
BERITA UTAMA

EXCO: Bacaan bau tiga sungai normal susulan air bertukar merah jambu

16 Jan 2025, 11:07 AM
EXCO: Bacaan bau tiga sungai normal susulan air bertukar merah jambu
EXCO: Bacaan bau tiga sungai normal susulan air bertukar merah jambu
EXCO: Bacaan bau tiga sungai normal susulan air bertukar merah jambu
EXCO: Bacaan bau tiga sungai normal susulan air bertukar merah jambu

SHAH ALAM, 16 JAN: Bacaan bau Sungai Kabul, Sungai Beranang dan Sungai Semenyih yang terkait insiden air berwarna merah jambu kelmarin, didapati normal setakat ini, kata EXCO alam sekitar.

Jamaliah Jamaluddin berkata pemantauan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sehingga hari ini mendapati keadaan ketiga-tiga sungai terlibat normal dan tiada risiko gangguan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih.

Menurutnya pengesanan dan tindakan segera LUAS bersama agensi lain termasuk Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berjaya memastikan tiada risiko gangguan operasi LRA berkenaan.

“Pemantauan LUAS sehingga hari ini, bacaan bau serta keadaan sungai terlibat adalah normal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

[caption id="attachment_665538" align="alignleft" width="386"] EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berucap ketika program Mini Karnival Kesihatan Malaysia Madani di Bandar Teknologi Kajang, Hulu Langat pada 29 September 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Jamaliah menjelaskan, LUAS mengesan aliran air berwarna merah jambu sepanjang 500 meter di Sungai Kabul sekitar 6.40 petang pada 14 Januari, mengaktifkan kod kuning mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air diaktifkan untuk mitigasi segera kerana berpotensi memberi impak kepada LRA Sungai Semenyih berjarak 16.3 kilometer.

Katanya, semakan lanjut mendapati punca aliran berwarna itu disebabkan pelepasan air sisa dari operasi premis di kawasan perindustrian Mahkota, Beranang yang mengalir masuk ke Sungai Kabul seterusnya Sungai Beranang dan Sungai Semenyih.

“LUAS segera mengarahkan premis menghentikan dan menutup pelepasan serta-merta. Surat arahan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999 diberikan kepada premis untuk pembersihan serta-merta di lokasi terlibat.

“Pensampelan di lokasi berkaitan turut dilaksana bagi analisis Jabatan Kimia dan tindakan penguatkuasaan lanjut melalui kertas siasatan mengikut Seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999,” katanya.

Menurutnya pemerhatian susulan semalam terhadap sebarang risiko lain di sekitar kawasan perindustrian itu, menemukan satu paip disyaki tanpa kebenaran selain terdapat aliran air berwarna keluar dari paip ke longkang dan seterusnya Sungai Kabul.

[caption id="attachment_682177" align="aligncenter" width="863"] Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengaktifkan kod kuning susulan insiden air Sungai Kabul, Beranang bertukar warna merah jambu pada 14 Januari 2025. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor[/caption]

“LUAS segera menyelaras tindakan bersama MPKj untuk penutupan paip yang belum dikenal pasti punca alirannya bagi mengelakkan risiko terhadap sungai terlibat,” katanya.

Jamaliah menegaskan Kerajaan Negeri, LUAS dan agensi berkaitan tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap aktiviti tanpa kebenaran dan kecuaian oleh pihak yang menimbulkan permasalahan serta mencemarkan sumber air.

“Pastikan sebarang aktiviti dan operasi premis adalah dengan kebenaran pihak berkuasa dan dikawal setiap aspek keselamatan, kesihatan serta diambil tindakan pencegahan dan pembaikan segera.

“Kecuaian terhadap aspek keselamatan, kesihatan aktiviti dan operasi premis memberi risiko kepada sumber air dan operasi LRA yang akhirnya menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna,” katanya.

[caption id="attachment_682342" align="aligncenter" width="841"] Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan ujian ke atas air sungai pada 16 Januari 2025 susulan insiden Sungai Kabul bertukar warna merah jambu. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.