ad
AGENDA

Kerajaan Madani sentiasa lihat, dengar masalah rakyat

16 Jan 2025, 9:59 AM
Kerajaan Madani sentiasa lihat, dengar masalah rakyat

SUNGAI PETANI, 16 JAN: Kerajaan sentiasa melihat serta mendengar permasalahan dihadapi rakyat di setiap Parlimen menerusi siri jelajah yang dilaksanakan, selain menyampaikan sumbangan Ihsan MADANI kepada mereka yang memerlukan.

Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin berkata program jelajah itu bukanlah semata-mata untuk menyampaikan sumbangan, tetapi juga bagi meninjau masalah rakyat yang masih belum atau tidak dapat diselesaikan oleh Ahli Parlimen di kawasan terbabit.

"Program ini memang perdana menteri ingin lakukan tetapi beliau sibuk, sebab itu beliau mewakilkan kami untuk turun ke lapangan bagi menyantuni rakyat di seluruh negara dan ia telah dilakukan sejak 2023 lagi.

"Contohnya, kalau di Sungai Petani ini, ada masalah yang kerajaan negeri tidak boleh selesaikan dan perlukan sentuhan kerajaan Persekutuan, kita akan bawa perkara itu kepada pengetahuan perdana menteri serta salurkan kepada agensi terlibat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan Ihsan MADANI kepada 200 penerima dalam Program Bantuan One-Off Asnaf Perdana Menteri di Dewan Penduduk Taman Sri Wang, dekat sini.

Dalam pada itu, Azman berkata kerajaan negeri dan Persekutuan perlu bekerjasama bagi membolehkan segala masalah yang dihadapi rakyat dapat diselesaikan sebaik mungkin.

"Saya sempat kunjung hormat dengan Datuk Bandar Alor Setar dan semasa taklimat, saya diberitahu mengenai masalah serta kekangan mereka dan mereka memang perlukan bantuan daripada kerajaan Persekutuan terutamanya Kementerian Kerajaan Tempatan.

"Peruntukan juga diperlukan untuk pembangunan di Alor Setar, sebab itu perlu bekerjasama. Kalau laksanakan kerja seorang diri, kerja tidak boleh diselesaikan, jadi kita akan lihat apa yang boleh bantu dari aspek pembangunan dan infrastruktur yang diperlukan," katanya.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.