Oleh Danial Dzulkifly
KAJANG, 16 JAN: Selangor mempertimbang untuk menyelaras garis panduan bagi perniagaan dari rumah (home-based business) berikutan peningkatan dalam sektor itu, kata EXCO kerajaan tempatan.
Menurut Dato' Ng Suee Lim, negeri bersikap toleran terhadap perniagaan seperti kafe dan kedai makan yang beroperasi dari rumah, terutama ketika pandemik Covid-19 bagi mencari pendapatan.
“Keadaan hari ini agak serupa, tetapi pemberian lesen sementara bagi perniagaan berasaskan rumah adalah berdasarkan budi bicara pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Mereka bertanggungjawab untuk menilai sama ada perniagaan tersebut sesuai dengan lokasi,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri sebuah program di sini, hari ini.
Beliau berkata pertimbangan untuk mengeluarkan lesen bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk jenis dan lokasi hartanah, selain kepadatan kawasan yang boleh mengganggu lalu lintas.
“Tidak semua rumah sama. Ada di lot atau kejiranan kurang padat, ada juga berdekatan bangunan bertingkat yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas atau ketidakselesaan kepada jiran.
“Ia perlu dinilai kes demi kes, tetapi kita akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan garis panduan yang sesuai bagi isu berkenaan,” tambahnya.
Selangor memperkenal lesen sementara bagi perniagaan berpusat di rumah atau di hadapan rumah sebagai langkah membantu penduduk meraih pendapatan ketika pandemik lalu.
Lesen tersebut dihentikan pada 2023, meskipun bekas EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menjelaskan lanjutan lesen bergantung kepada budi bicara PBT di setiap kawasan.