ad
AGENDA

Tiada emas ditemukan di Lenggeng, PTG uji sampel mineral

16 Jan 2025, 8:30 AM
Tiada emas ditemukan di Lenggeng, PTG uji sampel mineral

SEREMBAN, 16 JAN: Siasatan awal Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Sembilan bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) negeri mendapati tiada emas ditemukan di sekitar sungai di Lenggeng, lokasi yang didakwa melakukan aktiviti melombong emas.

Pengarah PTG negeri Mohd Faizal Abdul Manap berkata pihaknya bersama JMG dan wakil rakyat telah ke lokasi berkenaan semalam, namun tiada sebarang penemuan.

Beliau berkata hasil siasatan itu, beberapa sampel mineral diambil bagi mendapatkan pengesahan makmal berkenaan mineral yang ada di situ.

“Hasil siasatan awal mendapati tiada emas ditemukan di situ, namun pihak JMG tetap mengambil beberapa sampel di lokasi berkenaan untuk ujian lanjut di makmal bagi mendapatkan kepastian,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Faizal berkata setakat ini hanya sebuah syarikat sahaja diberi lesen melombong emas di Gemas, namun kerja melombong masih belum bermula berikutan mereka belum lagi menerima skim pengoperasian daripada JMG.

Semalam, Bernama melaporkan kerajaan negeri telah mengarahkan PTGNS dan JMG negeri menyiasat dakwaan berkaitan penemuan emas di sebuah kawasan di Lenggeng di sini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pihaknya sebelum ini hanya dimaklumkan tentang kerja-kerja membaiki hakisan tanah pasir di kawasan itu dan tiada kaitan dengan aktiviti melombong emas.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.