ad
AGENSI

PWS kutip RM2.105 juta hasil sewa premis, tanah dan bazar tahun lepas

16 Jan 2025, 8:01 AM
PWS kutip RM2.105 juta hasil sewa premis, tanah dan bazar tahun lepas

SHAH ALAM, 16 JAN: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) melaksanakan kutipan wakaf sebanyak RM2.105 juta sepanjang tahun lalu hasil daripada sewaan premis, tanah dan bazar.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata kutipan itu membabitkan 74 premis dengan nilai sewaan sejumlah RM0.684 juta, 69 bidang tanah (RM1.248 juta) dan 32 unit bazar wakaf (RM0.173 juta).

"Hasil daripada sewaan agihan manfaat wakaf ini diserahkan kepada penerima yang mana pewakaf telah niat sama ada kepada masjid, musolla, surau dan institusi.

"Alhamdulillah dengan manfaat yang diagihkan ini secara tidak langsung jariah individu yang melaksanakan amalan berwakaf jariah pahalanya telah dipanjangkan," kata Anuar Hamzah Tohar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perutusan Pengerusi PWS Dato' Ibrahim Md Yusof di Hotel Concorde di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ibrahim turut menyeru masyarakat di Selangor khususnya menjadikan amalan berwakaf sebagai satu budaya demi manfaat di dunia dan akhirat.

"Untuk makluman PWS turut menyediakan lebih 100 tabung untuk berwakaf di pelbagai lokasi sekitar negeri ini termasuk sistem potongan gaji dan kod QR bagi membantu memudahkan ibadat berwakaf," katanya.

Dalam majlis sama, PWS turut menyerahkan cek kepada 11 penerima manfaat wakaf antaranya adalah Masjid Jamiul Hasaniah, Klang dengan jumlah RM121,800 diikuti Surau Madrasatul Sofwa (RM68,437.50) dan Masjid Nahdhah Al Islam (RM67,587.50).

Wakaf tunai boleh dilaksanakan secara atas talian menerusi https://fpx.wakafselangor.gov.my/ewo_login.asp atau secara potongan bulanan di Sistem Borang Online PWS (https://bo.wakafselangor.gov.my) bermula 1 Januari 2025.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.