SHAH ALAM, 16 JAN: Menara Kuala Lumpur akan disinari lampu hijau setiap malam untuk menandakan masuknya waktu solat maghrib dan isyak di Kuala Lumpur, kata ketua pegawai eksekutifnya.
Menurut Nazli Saad, idea untuk inisiatif berkenaan tercetus secara spontan, selepas beliau menghadiri majlis bersama Media Prima Berhad berkaitan pelancaran azan terbaharu, semalam.
"Terinspirasi oleh makna majlis tersebut, Menara Kuala Lumpur memperkenal pencahayaan hijau ini sebagai peringatan masuknya waktu solat, selain usaha mendekati komuniti setempat.
"Pencahayaan hijau ini adalah cara yang ringkas tetapi bermakna untuk memberi inspirasi
kepada refleksi dan menggalakkan kebersamaan dalam komuniti kita," katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah usaha itu juga mengukuhkan dedikasi Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd dalam menyumbang kepada masyarakat dengan menyokong program yang memupuk perpaduan dan sosial.
Dalam pada itu, Nazli berkata pihaknya turut merancang beberapa program tahun ini bagi melibatkan diri dengan masyarakat antaranya majlis cerapan rasmi anak bulan Ramadan dan Syawal.
Turut dirancang, katanya, pertandingan memasak bubur lambuk bagi meraikan tradisi rakyat Malaysia, selain sesi berbuka puasa dari dapur Temu bersama anak yatim dan golongan kurang berkemampuan.